HARAPAN UNTUK ISLAM HARI INI
Bab 8 - Menyanjung Kejujuran
"Aku teringat menerima banyak surat yang mengharukan daripada pembaca The Satanic Verses yang beragama Islam," Salman Rushdie memberitahu aku semasa di dalam sebuah wawancara pada 2002. "Terutamanya daripada wanita Islam, yang berterimakasih kepada aku kerana membuka sebuah pintu, tahukah kalian." Tahukah aku. Seminggu sebelum itu, wanita-wanita telah mengadakan satu persidangan umat Islam Toronto yang inginkan reform. Kebanyakan daripada peserta wanita tidak memakai hijab, mahupun ia seakan-akan menyerupainya. Namun mereka cukup mengambil berat tentang Islam untuk keluar beramai-ramai pada pagi Sabtu yang ceria untuk membincangkan perkara mendatang di dalam agama – dan kedudukan mereka di dalamnya.
Seorang yang menampakkan semangat yang menyemarak berdiri di atas pentas. "Kenapa aku memerlukan tiga puluh ribu buku di perpustakaan aku? Adakah ia kerana setiap buku mengatakan perkara yang sama?" tanya Khaled Abou El Fadl, professor UCLA yang memelihara anjing-anjing jalanan untuk menentang orang Muslim yang berjiwa-keras. "Cara umat Islam kita melayan warisan intelektual seolah-olah buku demi buku perlu mengesahkan bahawa 'kebenaran mudah' itu Islam dan kita tidak perlu melangkauinya." Para sarjana Islam hari ini "sudah tentu golongan yang paling tidak menarik, produk paling membosankan yang diketahui oleh kemanusiaan. Kerana setiap daripada mereka boleh berkata, "Aku akan menulis perkara yang sama yang telahpun diperkatakan sepanjang enam ratus tahun yang lampau."
Para hadirin ketawa kecil. Menuju sebuah kerusi kosong, aku mengangguk kepala kepada seorang sahabat Muslim gay yang sedang berpacaran dengan seorang lelaki Yahudi yang memakai kippa. Sebelum mengambil tempat duduk aku, aku bertukar-tukar pelukan dengan seorang Turki Bosnia yang lama tidak aku jumpa semenjak dia mengahwini seorang lelaki Mexico yang dibesarkan sebagai seorang Katolik. Sekarang mereka adalah sebahagian daripada lingkungan Islam Sufi di Mexico City. Ini adalah audiens yang tidak mungkin menolak El Fadl dalam masa terdekat.
Dia menikmati limpahan kemesraan dan muhibbah yang ditunjukkan oleh para peserta dan kemudian berucap dengan penuh semangat. "Tahukah kalian tentang tamadun yang berkembang berdasarkan denominator biasa terbawah? Satu tamadun yang boleh selamat di tangan-tangan orang yang tidak cerdik dan bukannya pada golongan cerdik pandai? Tamadun dibina oleh artis, ahli sastera, dengan kebolehan untuk menjana keindahan dan muzik dan cara-cara ekspresi yang baru. Tamadun mara ke hadapan apabila ada premium, bukannya fatwa, atas keaslian pemikiran!" Aku hampir-hampir memulakan satu gelombang, tetapi memandangkan semuanya khusyuk, aku menenggelami impuls melalui "jihad dalaman".
Satu perkara yang mengusik diri ini. Sekiranya kata-kata perjuangan El Fadl datang daripada seorang yang bukan Islam, leher metaforikalnya sudah tentu akan dipulas – bukan oleh para militan (yang tidak endah akan metafora) tetapi oleh kebanyakan Muslim sederhana di dalam bilik ini. Apabila ahli komedi Afrika-Amerika Chris Rock membuat lakonannya lebih menarik dengan perkataan "
nigger" tetapi pada masa yang sama Jennifer Lopez, seorang Latina, menyebabkan bantahan kerana menyanyikan lagu rap dengan perkataan yang sama tanpa sebarang niat pejoratif, umat Islam bukan satu-satunya yang taksub dengan politik "perwakilan." Tetapi kenapa perwakilan yang sempurna tidak boleh bergantung kepada nilai-nilai bersama berbanding dengan persamaan-persamaan superfisial seperti warna kulit bagi kaum kulit hitam, orientasi seksual bagi golongan gay, agama bagi umat Islam? Aku membayangkan kebanyakan wanita yang mendengar El Fadl akan menentang habis-habisan sesiapa yang mengarah mereka untuk memakai kutang di atas pakaian mereka. Jadi mengapa kita mengenakan korset kebenaran untuk golongan bukan Islam?
Atau golongan non-Muslim menapis diri mereka sendiri?
Aku mempunyai satu sebab untuk memikirkan soalan ini beberapa hari sebelum kemunculan El Fadl. Seorang sahabat (mari kita namakan dia Alex) sedang menghiasi pusat pelajar University of Toronto dengan tanda-tanda yang memaparkan jari-jari yang menunjukkan ke atas dan ke bawah untuk meorientasikan pendatang baru. Setelah merekabentuk tanda-tanda ini di komputernya, Alex berbangga dengan dirinya yang membuatkan jari-jari ini non-putih. Di dalam satu tanda, jarinya berwarna hitam; pada satu lagi, kelabu (warna terdekat yang ada pada pencetaknya yang hampir kepada warna perang-sawo matang). Apabila Alex menunjukkan aku tanda-tanda ini, aku senyum menyokongnya. Kemudian Alex menyebut tentang sebuah rencana yang tersiar dalam suratkhabar hari itu tentang ekstremisme Islam di Denmark. "Meletakkan stereotaip kepada semua orang Islam," tegurnya terhadap suratkhabar itu.
Kerana telah membaca rencana tersebut, aku tidak bersetuju dengan Alex. "Aku fikir mereka sedang mengutarakan perkara yang bermasalah," kata aku. Dengan serta-merta, dia menyokong kekecewaan aku bahawa ada golongaon tertentu di kalangan orang Islam sedang menyalahgunakan liberalisme Denmark, dan kebisuan aliran utama seolah-olah memaafkan kelakuan mereka itu. Dia mengingat kemabali satu statistik yang terpapar dalam rencana itu: Walaupun penganut Islam hanya membentuk 5 peratus daripada populasi Denmark, mereka menggunakan sebanyak 40 peratus daripada bantuan kebajikannya. Membimbangkan, kerana apabila kerajaan membayar golongan pembuat huru-hara untuk hidup, mereka boleh membeli masa untuk menguruskan dan melaksanakan rancangan-rancangan mereka. Aku tidak dapat memberitahu kalian samda statistiknya adalah tepat, tetapi ia nyata membimbangkan Alex. Namun, di dalam keiinginannya untuk tidak menyinggung Muslim di dalam diri ini, dia pada mulanya menuduh suratkhabar itu melakukan kesalahan kewartawanan. Ketidakjujuran Alex yang tidak "merbahaya" sepadan dengan bilangan penganut Islam yang tidak terhingga ramainya.
Sekiranya kalian ialah seorang Alex, dengarlah dengan lebih lanjut. Terdapat lebih daripada satu cara untuk mengeksploitasi Islam. Ada orang Islam yang mengeksploitasinya dengan sebilah pedang, dan mereka ialah orang bodoh kerana berbuat demikian. Tetapi sama ramainya – atau lebih lagi – orang Islam yang mengeksploitasi Islam sebagai satu perisai, dan ini bersifat destruktif juga. Ia melindungi umat Islam daripada inkuiri-diri dan golongan non-Muslim daripada rasa bersalah. "Kalian tidak berhak menyoal tentang agama aku," ujar pembawa perisai kepada golongan bukan Islam. "Kalian tidak akan memahami Islam," (Antara aneka makna kenyataan ini ialah: Aku, sebagai Muslim yang tidak selamat, enggan memahami sudut pandangan kalian.) "Kalian telah 'merasialisasikan' orang-orang aku pada masa silam dan kalian akan 'memproblematiskan' kami sekali lagi." (Subteks: Kita umat Islam tidak mempunyai kuasa kita sendiri. Itulah yang diajar oleh profesor pengajian kebudayaan aku.)
Aku sudah melihat helah ini terlalu banyak kali untuk menerangkannya secara halus. Maka aku akan memberitahunya seperti yang sedia kala: Sejak zaman muda kedewasaanku, umat Islam di Barat telah lama menghisap puting kejahilan awam mengenai Islam, meraung untuk pengesahan di dalam semua keadaan, tanpa mengira sebrang kos. Pengulas-pengulas British Yasmin Alibhai-Brown menulis bahawa "idea masyarakat kita semata-mata pakatan tidak-campurtangan antara kumpulan bukan sahaja salah, ianya mustahil. Kita perlu menglibatkan diri masing-masing." Kita perlu mengenepikan perisai dan menerima hak asasi mana-mana masyarakat terbuka: bahawa kita boleh mengaju soalan kepada satu sama lain. Kadangkala soalan-soalan yang ditujukan. Kadangkala di ruang awam.
Di dalam semangat ini, kita tidak patut membiarkan bromida multikultural melalikan otak-otak kita lagi. Tetapi itulah yang dilakukan kita. Sebagai contoh, satu projek yang dipanggil Muslims in the American Public Square memuji kot Joseph yang merupakan konstituensi Muslim A.S. "[M]engikut urutan abjad keahlian kita bermula dari orang-orang Albania, Afghan dan Algeria pada satu hujung hinggalah orang-orang Yemen dan Zanzibar pada satu hujung lain," canang laman web projek tersebut. "Apa yang menyenangkan kepada antara kalangan kita ialah di Amerika Syarikat...satu perasaan solidariti Muslim yang baru kian terbit." Perpecahan lama semakin cair, perpaduan bangkit daripada kepelbagaian. Muslims in the American Public Square adalah satu kisah coming-of-age* yang klasik.
Cuma satu masalah: Pada pemeriksaan kali terakhir, tidak ada wanita yang duduk di lembaga penasihatnya. Lebih-lebih lagi, projek itu memaparkan sekeping foto dua puluh lima "pemimpin Muslim nasional" yang berhimpun untuk satu kumpulan fokus yang dianjurkannya, dan tidak ada seorang wanita pun di kalangan mereka. Aku tidak menghiraukan angka-angka semata-mata. Aduan aku berkaitan dengan langkah-langkah penting yang tidak diambil untuk melemahkan Islam kesukuan. Diberi rekod hak asasi dunia Islam kontemporari yang begitu menyedihkan, termasuk hak-hak wanita, inilah persamaan aku: Ketiadaan wanita bersamaan tidak cukup pluralisme dan tidak cukup perubahan. Sudahkah orang menyedarkan golongan Muslims in the American Public Square terhadap lubang besar di dalam "diversiti" mereka, atau samada berbuat demikian menggangu kemeriahan jambori multi-kultur mereka?
Aku mahu menawarkan satu lagi contoh mustahak bagaimana kita di Barat dilalikan oleh getaran multikulturisme. Pada 1994, timbalan perdana menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, memberi satu ceramah di Georgetown University bertajuk " The Need for Civilizational Dialogue." Anwar mengaku bahawa "[k]ejahilan, ketidakadilan, rasuah, hipokrisi dan hakisan nilai moral amat prevalen di dalam masyarakat-masyarakat Muslim kontemporari." Walaubagaimanapun, dia memberi amaran, "Pengguna lemah media massa hari ini hanya mendapat gambaran dunia Islam hanya dihuni oleh para fundamentalis keras lagi mengganggu." Hakikatnya, tamadun Islam "telah menghasilkan banyak kisah cinta." Anwar menggambarkan hujah ini dengan kisah Laila dan Majnun "yang begitu mengasyikkan." "Menurut kisah ini, pemuda ini dipandang rendah dan dicemuh kerana terlalu gilakan perempuan muda itu, kerana menurut pandangan dunia Laila buruk rupa parasnya. Di dalam responsnya, pemuda itu sentiasa menjawab: Untuk melihat kecantikan Laila, seseorang itu memerlukan sepasang mata Majnun.'" Aww, Laila yang hodoh menemui cinta – begitu memberansangkan.
Berkemungkinan untuk merosakkan cinta asmara berahi saat detik ini, aku mesti bertanya: Adakah Laila mempunyai pilihan untuk hidup membujang daripada mengahwini Majnun? Bolehkah dia meninggalkan desa tanpa izinnya? Bolehkah dia memilih pekerjaannya? Bolehkah dia bekerja? Ada tidak pelajar-pelajar non-Muslim yang menghadiri ceramah ini mengaju soalan-soalan ini? Anwar Ibrahim sudah pasti tidak akan cair di bawah soal-siasat. Dia mahukan hak asasi kemanusiaan, dan itulah yang membimbangkan bosnya, perdana menteri Malaysia, yang kemudiannya menghumban dia ke dalam penjara untuk menutup mulutnya. Kenapa perlu bersopan-santun mengenai kisah-kisah yang cantik yang mungkin mendedahkan hakikat-hakikat yang hodoh?
NOTA KEPADA NON-MUSLIM: BERANIKAN MEROSAKKAN ASMARA SAAT DETIK INI. Masyarakat terbuka kekal terbuka kerana orang mengambil risiko untuk mengaju soalan-soalan – dengan lantang. Soalan-soalan seperti,"Kenapa begitu mudah untuk menghimpunkan ribuan orang Islam di jalanan untuk mengecam pengharaman hijab di Perancis, tetapi mustahil untuk menghimpun sepecahan daripada penunjuk perasaan tadi ke jalanan untuk memprotes imposisi hijab di Arab Saudi?" Dan apabila orang Islam berkeras, "kami adalah demokrasi-demokrasi menurut acuan kami sendiri," mereka perlu mendengar soalan ini diajukan: "Apa hak-hak yang ada pada wanita dan golongan penganut agama minoriti di dalam demokrasi-demokrasi tersebut-bukan pada teori, tetapi pada hakikinya?"
Tanpa syak lagi, antara respons yang kalian akan dapati ialah Barat perlu melihat diri sendiri bagaimana ia memutilasikan wanita melalui implan-implan payudara dan pengempisan perut demi penerimaan sosial. Tidak dinafikan sama sekali, Barat perlu melihat dirinya. Namun, di dalam tahun-tahun aku sebagai seorang feminis di Barat, aku belum terjumpa ibubapa yang tidak mengaku anak gadis mereka sebagai anak lagi semata-mata dia tidak mahu menanam silikon pada buah dadanya – dan sementara itu ada ibubapa Muslim yang enggan menerima anak-anak perempuan mereka kerana mengelak daripada khatan kelentit. Golongan non-Muslim tidak menyumbang sebarang kebaikan dengan menekan butang senyap sebaik sahaja orang Islam mula bersuara. Beranikan diri untuk merosakkan saat detik ini.
Tanyalah mereka yang menggelar diri sebagai pemikir zaman kita – aktivis keamanan, umpamanya – kenapa mereka membentuk perikatan dengan watak-watak tertentu dan mengharap kita bertepuk tangan. Pada Januari 2003, apabila Majlis Keselamatan PBB membahaskan bagaimana untuk mematahkan ancaman Saddam Hussein, aku terperhati protes anti-perang di Toronto. Pemidato terakhir hari itu – sauh pasukan impian anti-perang – menerbit sebuah suratkhabar yang mengagung-agungkan teokrasi ala-Iran. Aku terpaksa bertanya samada orang ramai yang membuat bunyi pon-pon, bersiulan, bersorakan mempunyai hak perundangan untuk berhimpun sekiranya orang-orang sepertinya mempunyai cara mereka tersendiri. Pada petang yang sama di Washington, D.C., penganjur-penganjur anti-perang memberi pentas kepada seorang ulama Islam yang pernah meluahkan pendapat pada Oktober 2001 bahawa "golongan-golongan Zionis di Hollywood, Zionis di New York, dan Zionis di D.C." sedang bersubahat menentang umat Islam. Sekiranya Amerika Syarikat perlu mempertimbang semula perikatannya, orang-orang Barat yang progresif perlu juga berbuat sedemikian rupa. Tetapi kalian tidak tahu bertapa jeleknya satu-satu perakan-kongsian itu sehingga kalian berani merosakkan detik saat tersebut dan mula bertanya.
Tanyalah tentang wang yang diberi kepada kebajikan. Menurut Women Living under Muslim Laws, mana-mana angka "agensi-agensi penderma" menyumbang secara tidak langsung membiayai madrasah-madrasah dan pejabat-pejabat kebajikan sosial yang diuruskan oleh para foundamentalis. Para foundamentalis ini pula, memburukkan lagi keadaan dengan meletakkan lebih banyak "tekanan untuk kaum lelaki menghadiri masjid-masjid [dan] untuk kaum wanita menutupi diri." Mereka menuntut "penamatan pendidikan bersama (ko-ed), melarang perempuan daripada ilmu sains, sukan dan kesenian, [dan] program-program pendidikan yang memupuk perasaan benci terhadap orang lain." Jangan terpedaya dengan gelaran-gelaran neutral. The Benevolence International Foundation, Mercy International Relief Organization, Global Relief Foundation – adalah nama-nama yang sedap didengar, dan kesemuanya terimplikasi dalam keganasan Islamiyyah. Kemudian ada pula Human Concern International, sebuah badan kebajikan Islam yang berpangkalan di Ottawa. Untuk sekian lama, pengarah kawasan bagi Pakistan, seorang warganegara Kanada bernama Ahmed Said Khadr, memujuk umat Islam Kanada lain secara halus untuk menyerah barang kemas dan cek-cek wang bagi "meringankan penderitaan manusia." Mereka langsung tidak tahu-menahu yang dia mungkin ialah operatif Al-Qaeda senior. Selepas pihak berkuasa Pakistan menahan Khadr di dalam satu plot pengeboman pada 1995, Human Concern memecatnya. Setelah dibebaskan, Khadr memulakan sebuah badan kebajikan lawan di bawah panji yang bernada kedamaian yang hampir serupa, Health and Education Projects International. Aku bukannya menyeru kalian untuk berhenti menyumbang derma. Aku hanya menyeru kalian supaya berhenti mengambil mudah ke mana perginya sumbangan derma kalian. Beranikan diri untuk merosakkan saat detik ini.
Kalian selesa meletakkan para ahli politik di kerusi panas, kan? Tidak begitu menakutkan berbanding apabila memanggil seorang Muslim untuk memberi keterangan, tidak begitu? OK. Jika kalian ialah warganegara Amerika, bagaimana kalian tahu bahawa wang cukai kalian tidak digunakan untuk membiayai buku-buku teks yang penuh dengan keganasan di Afghanistan, seperti yang berlaku semasa era Reagan di bawah U.S. Agency for International Development? Sudahkan kalian memberi tekanan kepada ahli Kongres kalian untuk maklumat? Jika kalian tinggal di Norway, adakah kalian tahu bahawa sekolah-sekolah latihan Bahasa Inggeris yang dijalankan oleh kerajaan (dibayar oleh kalian) kadangkala memisahkan wanita Islam daripada lelaki Islam, maka menggagalkan usaha untuk memperkenalkan perkara asas seperti pluralisme kepada golongan pendatang ini – yakni pendidikan bersama (ko-ed)? Kepada penduduk Belanda pula, bagaimana kalian memastikan bahawa Sistem Penyiaran Islam Belanda tidak lagi membekalkan inti-inti rancangan berlumurkan kebencian kepada stesen TV awam kalian, Nederland 1, sebagaimana yang berlaku pada 11 September 2001? Kepada rakyat Kanada, kalian harus tahu bahawa pada ulangtahun pertama 11 September sebuah kumpulan yang ditaja persekutuan, Toronto Response for Youth (TRY), telah mengadakan bengkel-bengkel tentang keperluan untuk bertoleransi. Tetapi bahan-bahan TRY menyalahkan stereotaip-stereotaip media tentang orang Islam dan orang lain kepada "badan-badan korporat yang diusahakan oleh mereka yang kebanyakannya terdiri daripada lelaki-lelaki kulit putih atau Yahudi." Inikah anti-perkauman? Untuk siapa? Alice dan Ali di Wonderland? Boleh tidak kita berusaha membelanjakan wang kita demi usaha-usaha yang lebih murni?
Mungkin ada di antara kalian merungut di kalangan diri kalian, "Tetapi benarkah lelaki kulit-putih dan Yahudi mengepalai semua multinasional yang memiliki-media. Adakah menyatakan kebenaran membuat kita rasis? Ketepikan seorang lelaki kulit hitam bernama Richard Parsons, CEO AOL-Time Warner, dan Oprah Winfrey, dan Sonny Mehta dan Quincy Jones, andaikan kalian betul di dalam mengatakan bangsa kulit putih dan Yahudi menguasai kebudayaan aliran utama. Selagi kita berfikiran begini, aku berasa bertanggungjawab untuk mendedahkan seperkara lagi mengenai TRY, projek "anti-perkauman". Kebanyakan daripada pemimpin bengkel mempunyai nama Islam. Mungkin kita tidak perlu hairan yang antirasisme mengambil rupa anti-Semitisme apabila orang Islam berkuasa. Adakah "pemprofilan" individu-individu ini menjadikan aku seorang rasis? Tidakkah golongan "antirasis" ini juga sedang memprofil dengan membayangkan kulit pucat dan yarmulke* yang berselindung stereotaip-stereotaip media? Adakah mereka lebih, kurang, atau rasis seperti diri aku? Kalian akan nampak bertapa menjemukan peraduan ini.
Lebih baik sekiranya kita dapat menyoal kenapa pertanyaan legitimat tentang (orang Islam, umpamanya) membawa tuduhan rasis sementara pertanyaan legitimat tentang orang lain (katakan, rakyat Amerika non-Muslim) tidak pula demikian. Lagi pun, Amerika dan Islam tidak bersifat monokromatik semata-mata. Begitu juga "ras" bukan dalam ertikata genetik yang sia-sia sahaja. Jadi apa yang membuatkannya begitu? Ada tiga perkara sekurang-kurangnya.
Pertama, rakyat Amerika memikirkan diri mereka sebagai didefinisikan oleh satu idea – kebebasan. Walaupun negara mereka tidak buta-warna, idea kebebasan ialah idea yang tanpa mengira warna. Sebahagiannya, itulah sebabnya tidak masuk akal untuk menggelar para inkuisitor Amerika sebagai rasis.Oleh kerana tuduhan rasisme tidak dikalungkan terhadap pengkritik-pengkritik Amerika, kita melihat kritikan-kritikan mereka seolah-olah boleh dibenarkan. Dan ia dibenarkan – seperti juga kritikan terhadap negara Islam yang berpendudukan majmuk. Umat Islam yang mendakwa perkauman secara automatis terhadap interogator-interogator Islam sendiri pun memperkukuhkan fiksyen kita berasal dari satu tempat. Kalian tidak boleh salahkan stereotaip tersebut ke atas Yahudi mahupun lelaki kulit putih.
Sebab kedua kenapa kita perlu menyoal golongan non-Muslim Amerika - orang-orang Barat pada umumnya – tetapi tidak kepada umat Islam. Orang-orang di Barat kebiasaannya tidak mencederakan kalian secara fizikal hanya semata-mata seseorang itu tidak setuju dengan pendapat rasmi. Tidak semua orang Amerika yang boleh menerima kenyataan bahawa New York Times Magazines mengkritik anggaran FBI mengenai rekrut-rekrut Al-Qaeda di Amerika, lalu memanggilnya "lebih kurang tekaan rambang sahaja." Tetapi, adakah pejabat-pejabat majalah ini dibakar, seperti yang berlaku di Nigeria apabila seorang kolumnis menyinggung perasaan golongan Muslim yang memerintah? Banyak saluran kabel Amerika menyiarkan iklan-iklan yang menanyakan "Apa yang akan dipandu oleh Yesus (Nabi Isa)?" lantas mempersendakan oligarki minyak. Saluran-saluran ini juga menyiarkan Nelson Mandela menuduh George W. Bush sebagai "seorang presiden yang tidak berfikiran waras." Tetapi adakah lesen-lesen mereka ditarik balik dan para wartawan dikasari? Jika dibandingkan, Arab Saudi, Kuwait, dan Jordan telah mengusir pelapor-pelapor Al-Jazeers kerana mengkritik rejim-rejim mereka.
Ia satu bukti bertapa banyak kritikan-diri yang ditoleransikan oleh Amerika sehinggakan selepas September 11, Jello Biafra, ahli utama bagi kumpulan punk 1980-an Dead Kennedys, mengunjungi kota-kota Amerika Utara mengecam Bush. Biafra mencemuh pelat telor Bush sambil membentangkan kenyataan-kenyataan yang kelam-kabut tatabahasa dan nahunya yang dikeluarkan oleh tuan presiden, sambil menawan hati audiensnya.
Tuhan sendiri pun diusik di sesetengah kawasan di Amerika Syarikat. Aku pernah nampak seorang lelaki di Venice Beach, California, melagukan versi "God Bless Americanya." Nikmatilah:
God bless my underpants! (Tuhan berkati seluar dalam aku)
Brand that I like (Jenama yang aku gemar)
Stand inside them (Berdiri di dalamnya)
And ride them (Dan menunganginya)
Between my buns when I ride or bike...(Di antara buntut-buntutku apabila aku membonceng atau menunggang)
Orang kita mungkin seorang yang bahalul, tetapi seluar dalamnya tidak diperiksa oleh ejen-ejen FBI yang marah ataupun buntutnya ditendang oleh para penginjil Kristian. Cuba nyanyikan sesuatu tentang Allah di sebuah negara Islam. Kita telah pun tahu histeria akan tercetus apabila Nabi Muhammad dipersendakan – dan baginda bukanlah Tuhan!
Berbalik kepada Amerika, izinkan aku katakan orang-orang presiden menyerbu masuk bila berpeluang. Penahanan arbitrari, pencarian rambang, perampasan yang tidak dijangka, perbualan telefon yang dirakam, mel dibuka, dokumen kerajaan yang diklasifikasikan: Amerika Syarikat nampak semuanya. Soldadu-soldadu di pangkalan tentera di California boleh menembak untuk membunuh sekiranya para aktivis anti-perang menceroboh. Pentagon mempunyai pejabat hubungan hiburan dengan Hollywood untuk membersihkan gambaran ketenteraan A.S. sambil mengorbankan ketepatan sejarah. Negeri Florida, yang ditadbir oleh adik lelaki George W. Bush, Jeb, baru-baru ini mengarah seorang pemandu kereta untuk menyerah plet lesen kerana ia memaparkan perkataan "ATHEIST". Dan Clear Channel yang berpusat di Texas, rangkain radio terbesar Amerika yang juga merupakan penyumbang kewangan besar kepada presiden, telah memberi sokongan kepada peperangan menentang keganasan dengan mengenepikan 160 buah lagu yang boleh melukai sensibiliti pasca-11 September. Wah, wah, begitu banyak kegiatan polis di bumi yang bebas.
Begitu juga dengan proses dokumentasi hariannya. Kalian dan aku tahu tentang kelemahan-kelemahan Amerika kerana tidak henti-henti mendengar tentangnya. Sudah lumrah untuk mengecam sebuah negara apabila kita tahu titik-titik kelemahannya, dan sudah lumrah untuk membesar-besarkan kelemahan-kelemahan itu apabila kita tahu kita tahu yang lidah, tangan dan kepala kita tidak akan dipenggal. Umat Islam harus bertanya samada keistimewaan sedemikian (dikenali di Barat sebagai "hak") menyumbang kepada kenapa kita meletakkan Amerika dan Israel daripada pengecualian bagi negara-negara Islam yang sedang memeriksa dan meneliti. Golongan non-Muslim harus bertanya kenapa mereka tidak tanya kita soalan itu dengan lebih kerap lagi.
Sekarang untuk sebab terakhir kita merasakan ia madani untuk mengkritik rakyat Amerika tetapi tidak terhadap umat Islam. Tidak sahaja Amerika Syarikat akan mendengar senari kegagalannya, Amerika Syarikat akan bersedia bertanggungjawab untuk beberapa daripadnya. Walaupun apabila ia berkenaan dengan perkara-perkara sakrosant yang menyentuh agama, wang, rakyat Amerika akan terlibat dengan muhasabah diri telus, untuk membetulkan keadaan. Sepanjang musim panas 2002, CNBC, saluran kewangan pilihan di Amerika Syarikat, membuat liputan dengan penyelewengan akaun sebuah syarikat tenaga gergasi, Enron. "What Went Wrong?" pancar salah satu grafik CNBC. Enam bulan kemudian, majalah Times Persons of the Year: para penip wisel Amerika korporat. Kesemuanya wanita. Kesemuanya mempunyai sistem, legal, judisial dan politik yang mengambil berat tentang apa yang perlu mereka kata. Di mana di dunia Islam kalian akan menemui golongan wanita dipuji kerana menumpaskan rasuah? Tidak ada. Belum lagi.
Terpulang kepada kita di Barat untuk menggugurkan tuduhan-tuduhan reaksionari rasisme terhadap para pembunyi semboyan dalam Islam dan mengetuai usaha pembaharuan.
MEMULAKAN PERUBAHAN BERMAKNA TIDAK MENELAN QURAN SECARA HARFIAH, dan tidak mengambil multikulturisme secara harfiah. Kenapa klitorektomi* paksa harus dinikmati? Kenapa pegawai-pegawai polis perlu mengundur diri apabila seorang bapa (atau ibu) mengancam membunuh anak perempuan yang memilih berkahwin dengan orang yang tidak seagama? Kenapa seorang pemandu teksi Islam yang merogol seorang wanita yang tidak sempurna mentalnya dibebaskan di bawah rubrik sensitiviti kebudayaan? Mengulangi kata-kata profesor sains politik Jerman dan seorang Muslim, Bassam Tibi, kenapa harus hak asasi manusia milik golongan non-Muslim sahaja?
Sementara orang-orang Barat tunduk terhadap multikulturisme, kita sering bertindak seolah-olah apa pun berkemungkinan. Kita nampak kesediaan untuk berakomodasi itu sebagai satu kekuatan – sebagai satu bentuk superioriti kebudayaan (walaupun tidak ramai di antara kita yang akan mengakuinya). Tetapi para foundamentalis melihat naluri inklusif kita sebagai satu kelemahan yang membuat kita lembut, malas, tidak bermatlamat. Foundamentalis membenci kelemahan. Mereka percaya yang lemah harus dilenyapkan. Secara paradoksnya, lebih banyak kita akomodasikan untuk menteteramkan, bertambahlah kebencian mereka tehadap "kelemahan" kita. Paradoks tertinggi ialah untuk mempertahan diversiti kita, kita tidak perlu terlalu bertoleransi. Sekurang-kurangnya, kita perlu lebih berwaspada.
Waspada memerlukan kita bertanya satu soalan rohaniah (tidak semestinya keagamaan): Apa nilai pedoman yang perlu dalam hidup kita? Daripada kumpulan ideologi dan agama yang ada di luar sana, penuras apa yang akan menyuling hak setiap insan untuk kebebasan bersuara? Perkataan toleransi dan frasa saling menghormati tidak memadai sebagai nilai pedoman. Kenapa membiarkan bigotri diwarnai keganasan? Di mana kesalinganannya dalam versi saling menghormati ini? Amin Maalouf, seorang novelis Perancis, tepat pada sasarannya: “Tradisi-tradisi patut dihormati selagi ianya dapat dihormati – selagi ianya menghormati hak-hak asas lelaki dan wanita.” Kita, orang-orang Muslim dan bukan-Muslim perlu memutuskan nilai apa yang mencerminkan sensibiliti ini dan memulakan usaha kita secara berunduran dari situ. Apa sahaja yang tidak menggerakkan masyarakat di dalam hala tuju nilai tersebut langsung tidak boleh ditoleransikan. Noktah.
Perangkap sedemikian sudah tentu akan menangkap tafsiran-tafsiran tertentu tentang Islam, maka biarkannya begitu. Aku akan menyebut satu contoh yang sensasi lagi benar apa yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja apabila kita perlu mengekalkan kebebasan bersuara untuk seramai yang mungkin. Pada 1999, " Sharia Court of the UK" yang dilantik sendiri mengeluarkan waran maut ke atas penulis drama Terence McNally. Pertunjukannya, Corpus Christi, menggambarkan Yesus (Nabi Isa) sebagai lelaki gay. Mengamalkan hak kebebasan bersuara, ramai penganut Kristian berpiket membantah Corpus Christi pada pelancarannya di Edinburgh. Sheikh Omar bin Bakri Muhammad, hakim mahkamah syariah itu, pergi selangkah lagi dengan mengungkitkan isu kehormatan. Memarahi Gereja England kerana "mengabaikan" kehormatan Perawan Mariam dan Yesus (Nabi Isa)," Sheikh Omar menandatangani satu fatwa terhadap McNally yang kemudiannya diedarkan di London. Kebebasan bersuara? Sekiranya dilaksanakan, fatwa itu akan menamatkan nyawa McNally, memadamkan dan tidak sekadar mengurangkan kebebasan bersuaranya.
Demi keadilan, fatwa itu menekan bahawa McNally perlu dihukum bunuh di sebuah negara Islam. Dan ia tidak memberinya sebarang pilihan: Dengan memeluk agama Islam, penulis drama ini akan melepaskan diri daripada pemenggalan kepalanya. Usaha separuh-separauh, seperti taubat, tidak akan dapat mengangkat hukuman mautnya itu, tetapi "ahli keluarganya akan dijaga oleh negara Islam yang melaksanakan hukuman itu dan dia boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam." Amat menyeramkan sekali.
Beritahu aku satu sebab yang baik kenapa Sheikh Omar harus terus dibenarkan berada di Britain setelah menjatuhkan hukuman maut terhadap seorang lelaki. Majlis Islam Britain mendakwa yang Sheikh Omar mewakili tidak lebih daripada seribu penganut Islam daripada 2 juta penganut Islam di Britain. Sekiranya benar, maka umat Islam Britain – sememangnya, umat Islam di seluruh dunia Barat – tidak perlu bimbang tentang pendakwaannya dan deportasinya kerana semua bentuk Islam yang menghormati kebebasan untuk tidak percaya, untuk menurut hala tuju seseorang itu, akan terus kekal. Hanya Islam padang pasir sahaja tidak, dan tidakkah kita perlu berasa lega pada prospek ini?
Aku mencadangkan, sebagai nilai pedoman, kita di Barat bersetuju tentang individualiti. Apabila kita merayakan individualiti, kita membenarkan kebanyakan daripada orang untuk memilih siapa diri mereka, tidak kira mereka ialah penganut agama tertentu, semangat bebas, atau kedua-duanya. Untuk kebanyakan orang Eropah, individualiti mungkin menandakan terlalu banyak individualisme Amerika. Ia tidak perlu begitu. Individualisme – Aku keluar di atas kehendak sendiri ¬– berbeza daripada individualiti – Aku adalah aku, dan masyarakat sekelilingku mendapat manfaat daripada keunikan itu. Soalan aku kepada Eropah non-Muslim: Adakah kalian percaya bahawa 16 juta penduduk Islam kalian mampu memberi sumbangan sebagai individu? Soalannya ialah bukan samada mereka mampu, tetapi samada kalian percaya mereka mampu.
Eropah, kenapa kalian teragak-agak untuk membayangkan umat Islam sebagai warga penuh? Ramai keluarga Muslim sudah tinggal di Jerman semenjak Perang Dunia Kedua. Kenapa mereka masih dirujuk sebagai imigran generasi kedua dan ketiga dan tidak sebagai orang-orang Jerman? Apa pula dengan masalah kesucian – sesuatu yang kalian kata kalian benci tentang Israel, walaupun Israel telahpun lama menganugerahkan kewargengaraan kepada orang-orang asing? Aku merayu kepada kalian, Eropah, supaya jangan menyulap ikatan tidak suci antara tribalisme padang pasir dan tribalisme-tribalisme kalian sendiri. Akurlah dan belajar daripada model pluralistik Amerika Utara, di mana umat Islam boleh menjadi warganegara yang bersatu-padu. Adakah kalian mahu melihat pulralisme berkurangan kerana melalui cara itu, Amerika akan berkurang dengannya? Sudah tentu, kalian akan meluat melihat Amerika, tetapi juga akan mempertikai moyang-moyang liberalmu, dari Ibn Rushd hinggalah Erasmus hinggalah Kant hinggalah Voltaire. (Dan Voltaire, mari kita berterus terang, akan mengangkat gelas kepada lelaki Amerika yang menyanyikan " God Bless My Underpants." – Tuhan Memberkati Seluar Dalamku.)
Eropah, sudahkah kalian menerima khabar angin yang mengatakan masa kalian sudah berlalu dan oleh itu kalian tidak mempunyai kepentingan pada masa depan? Kalian begitu marah di dalam peperangan mutakhir Amerika di Iraq, tetapi penghijrahan daripada bumi-bumi Islam ialah satu isu yang menggelisahkan kalian. Survival kalian sebagai blok ekonomi yang istimewa bergantung kepada para imigran sepertimana masa depan Amerika Utara juga. Kalian mempunyai kepentingan diri untuk membantu Arab Muslim menyesuaikan diri kepada demokrasi sebelum mereka membanjiri kota-kota kalian. Jadi kenapa kalian tidak menentang rejim-rejim Arab yang mana minoriti Islam Sunni mengawal puak Syiah yang merupakan majoriti? Seperti kebanyakan daripada kalian, aku alah kepada sektarianisme keagamaan. Walau apa pun, di mana antipati kalian kepada apartheid di dalam kes-kes ini?
Apa yang kalian katakan kepada Rami Khouri, wartawan Palestin yang menulis "institusi-institusi bebas, kredibel, masyarakat sivil tidak wujud si kebanyakan Teluk Parsi, Syria, Iraq, dan Libya, dan beroperasi di bawah kawalan kerajaan yang ketat di Sudan, Algeria, Tunisia, dan Yemen"? Eropah, ekonomi-ekonomi kalian sedang bergelut sekarang, dan sudah tentu kalian harus menjaga rasisme anti-Arab yang boleh menyebabkan kebuntuan ekonomi. Berhati-hatilah terhadap rasisme akibat terlalu memberi. Menggambarkan Zionis sebagai imperialis Eropah atau Nazi bukanlah caranya untuk mengembalikan maruah. Caranya ialah menyokong hak asasi manusia untuk semua. Siapa yang menghalang kalian daripada menganjurkan tunjuk perasaan jalan besar-besaran terhadap pencabulan kebebasan manusia sejagat?
Mungkin kalian ingin sekali untuk memberitahu aku yang ianya tidak sejagat, Mungkin menurut pandangan keras kalian terhadap globalisasi – satu proses yang kononnya membakukan cara hidup – kalian menyimpulkan kesejagatan kebebasan ialah satu eufemisme yang licik demi keseragaman kebudayaan. Di bawah "keseragaman" globalisasi,"
tidak ada yang boleh memaksa aku untuk menjadi patron gerbang keemasan. Aku boleh memlih untuk tidak membaca menu McDonald. Aku boleh memilih untuk mendengar rentak irama Nusrat Fateh Ali Khan, memakai kemeja-T yang melaung-laungkan ia hasil titik peluh buruh, dan menaiki tren ke luar negara untuk memprotes sebelum memperolehi izin bapa aku untuk melakukan perjalanan. Di bawah keseragaman
foundamentalisme Islam, aku tidak dapat memilih. Begitu juga kalian. Menyamakan iblis syaitan Islam padang pasir dengan dosa-dosa globalisasi ialah satu kesilapan yang dilakukan oleh golongan yang terlalu banyak keistimewaan, mereka yang tidak tahu apa yang lebih teruk selain daripada menjadi sasaran pasaran.
Eropah, adakah kalian terpikat dengan kerumitan kebudayaan sehinggakan kalian hilang pandangan terhadap ketentuan tamadun. Seperti yang telah aku tunjukkan, umat Islam berkongsi tamadun Barat. Mereka bertindak sebagai bidan-bidan kepada Renaissance Eropah, yang selama ini mengambil Yahudi Kristian, dan lain-lain, yang banyak meminjam daripada Yunani, Byzantine, dan tradisi-tradisi sekitarnya. Tanggungjawab global kita sekarang bukanlah untuk menentukan siapa mempunyai identiti apa, tetapi menyampaikan kepada generasi akan datang hutang kita sesama sendiri.
Dengan niat ini, aku ingin mengakhiri apa yang dimulakan aku: menghargai apa yang telah dilakukan Barat untuk diri aku – sememangnya, untuk kebanyakan umat Islam. Aku berhutang budi dengan Barat di atas hasrat aku untuk mereformasikan Islam. Di dalam segala kejujuran, saudara seIslamku, kalian pun sama.
NOTA SUMBER DAN NOTA PENTERJEMAH
(Source & Translator’s Notes)
BAB 8: Menyanjung Kejujuran (Chapter 8 Notes)
1"Terutamanya daripada wanita Islam, yang berterimakasih kepada aku kerana membuka sebuah pintu, tahukah anda." Sumber: Temubual dengan Salman Rushdie, Toronto, 20 September, 2002. <Klik> sini untuk membaca transkrip lengkap.
2"'Aku akan menulis perkara yang sama yang telahpun diperkatakan sepanjang enam ratus tahun yang lampau.'"Sumber: Khaled Abou El Fadl (ucapan kepada Canadian Council of Muslim Women), Toronto, 14 September, 2002.
3" Kemudian Alex menyebut tentang sebuah rencana yang tersiar dalam suratkhabar hari itu tentang ekstremisme Islam di Denmark." Nota: Rencana tersebut hasil karangan Daniel Pipes dan Lars Hedegaard, "Muslim extremism: Denmark's had enough," National Post, 27 Ogos, 2002.
4"' Kita perlu menglibatkan diri masing-masing.'" Sumber: Yasmin Alibhai-Brown, After Multiculturalism (London: Foreign Policy Centre, 2000), ms. 7.
5'"... satu perasaan solidariti Muslim yang baru kian terbit.'" Sumber: Sulayman S. Nyang, "Why the Public Square?" www.projectmaps.com.
* saat kematangan- saat ketika tercapainya status kematangan atau kedewasaan. Dikekalkan verbatim seperti i dalam teks asal untuk memelihara konteks dan maksud penulis.
6"...'[k]ejahilan, ketidakadilan, rasuah, hipokrisi dan hakisan nilai moral yang betul amat prevalen di dalam masyarakat-masyarakat Muslim kontemporari.'" Sumber: Anwar Ibrahim, "The Need for Civilizational Dialogue" (Ucapan kepada Georgetown University, Washington, D.C.), 6 Oktober, 1994.
7" Pemidato terakhir hari itu – sauh pasukan impian anti-perang – menerbit sebuah suratkhabar yang mengagung-agungkan teokrasi ala-Iran." Nota: Aku tidak akan memberi publisiti kepada suratkhabar ini dengan menyebutnya, tetapi aku akan tunjuk sejauh mana penerbitnya, Zafar Bangash, menyalahkan semua kecuali umat Islam bagi krisis yang melanda Islam. Dalam edisi 15 November, 2002 siaran TVOntario "Diplomatic Immunity," Bangash menyatakan "Nasib Umat Islam dinafikan oleh penjajah-penjajah mereka, dan mereka sedang bergelut menentangnya."
Pewawancara, Steve Paikin, bertanya: "Jika Israel tidak wujud, jika Chechnya bebas merdeka, jika Kashmir negara merdeka, jika Amerika memperolehi segala bekalan minyaknya dari Alberta dan tidak dari Arab Saudi dan semua tenteranya pulang, adakah anda berpendapat segala-galanya di Dunia Islam bebas dari sebarang masalah?" Bangash menjawab, "Sudah semestinya, mereka tidak akan mempunyai sebarang masalah. Mereka masih tidak bermasalah."
8"...'golongan-golongan Zionis di Hollywood, Zionis di New York, dan Zionis di D.C." sedang bersubahat menentang umat Islam." Sumber: Abdul Malim Musa dipetik oleh David Corn, "Capital Games," The Nation, 10 Februari, 2002, ms. 2 versi online.
9"'Mereka menuntut "penamatan pendidikan bersama (ko-ed), melarang perempuan daripada ilmu sains, sukan dan kesenian, [dan] program-program pendidikan yang memupuk perasaan benci terhadap orang lain." Sumber: www.wluml.org, di bawah "Part One: The Context of our Struggle."
10"... adalah nama-nama yang sedap didengar, dan kesemuanya terimplikasi dalam keganasan Islamiyyah." Sumber: Matthew A. Levitt, Keterangan kepada Jawatankuasa Senat A.S. untuk Perbankan, Perumahan, dan Hal-Ehwal Perbandaran (Subjawatankuasa untuk Perdagangan dan Kewangan Antarabangsa), The Role of Charities and NGOs in the Financing of Terrorist Activities," 1 Ogos, 2002.
11"... 'Adakah menyatakan kebenaran membuat kita rasis?'" Nota: In World on Fire (New York: Doubleday, 2003), ahli akademik Yale, Amy Chua menulis bahawa "[j]ika Yahudi-Amerika dipandang sebagai golongan etnik-minoriti di Amerika Syarikat, mereka jauh daripada menguasai ekonomi A.S...Tiada seorang pun rakyat Amerika terkaya ialah Yahudi." (ms. 189)
* yarmulke sama dengan kippa, yakni kopiah yang dipakai oleh lelaki Yahudi. Yarmulke ialah istilah yang berasal daripada bahasa Yiddish (bahasa Jerman yang dipengaruhi dengan bahasa Ibrani dan digunakan oleh kaum Yahudi Eropah Timur dan Jerman – Golongan Yahudi Ashkenazi).
12"... lalu memanggilnya 'lebih kurang tekaan rambang sahaja.'" Sumber: Noam Scheiber, "Numbers in the News: Is there really an army of terrorists in our midst?" New York Times Magazine, 16 Februari, 2002, ms. 12.
13"... Nelson Mandela menuduh George W. Bush sebagai "seorang presiden yang tidak berfikiran waras.'" Sumber: 'Mandela condemns US stance on Iraq," www.bbc.co.uk, 30 Januari, 2003.
14"... Between my buns when I ride or bike...(Di antara buntut-buntutku apabila aku membonceng atau menunggang)." Nota: Persembahan ini dirakam kamera oleh pembikin filem bebas Mike Downie dan profesor sains politik Ron Diebert, dan disiarkan di "Big Ideas," TVOntario, 24 November, 2002. [Tengok klip video.]
15" Kalian dan diri ini mengetahui tentang kelemahan-kelemahan Amerika kerana tidak henti-henti mendengar tentangnya." Nota: Satu lagi contoh seperti ini boleh didapati di bahagian 'acknowledgements' Rogue Nation: The America the Rest of the World Knows (Toronto: McClelland & Stewart, 2003). Pengarangnya, wartawan Toronto Star, Peter Scowen, mengecam sikap mementingkan-diri, berpura-pura dan secara umumnya bercanggah dengan nilai-nilai kebebasannya. Namun, dalam 'acknowledgements'nya, Scowen berkata "Aku terhutang budi dengan National security Archives (Arkib Keselamatan Negara), melalui usaha-usaha yang tidak mengenal penat-lelah memaksa aneka jabatan dan agensi kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan dokumen-dokumen berharga dan menyediakannya di Internet." (ms. vi) Scowen ialah contoh baik seseorang yang mudah mengkritik A.S. kerana ia adalah sebuah negara yang mendedahkan segala-galanya kepada para antagonis dan tidak hanya penggemarnya.
* diterjemah daripada clitorectomy, pemotongan atau pembuangan kelentit, amalan khatan yang dilakukan ke atas sesetengah perempuan Islam.
16"...kenapa harus hak asasi manusia milik golongan bukan-Islam sahaja?" Nota: Untuk maklumat lanjutan, lihat Bassam Tibi, The Challenge of Fundamentalism: Political Islam and the New World Disorder (Berkeley: University of California Press, 1998), ms. 205.
17"'... selagi ianya menghormati hak-hak asas lelaki dan wanita.'" Sumber: Amin Maalouf, In the Name of Identity: Violence and the Need to Belong (New York: Arcade Publishing, 2001), ms. 106.
18"...Memarahi Gereja England kerana 'mengabaikan' kehormatan Perawan Mariam dan Yesus (Nabi Isa)," Sheikh Omar menandatangani satu fatwa terhadap McNally..." Sumber: James Lyons, "Islamic court condemns author who depicts Jesus as homosexual," The Independent, 30 Oktober, 1999, ms. 1 versi online.
19"'... dia boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam.'" Sumber dan nota: James Lyons, Ibid.
Membalas Sheikh Omar, dua kumpulan hak kaum gay, Lesbian Avengers dan Outrage, mengeluarkan satu "Queer Fatwa" terhadapnya. Fatwa itu dilaporkan berbunyi begini: "Omar Bakri Mohammad dengan ini dijatuhkan hukuman diliwat berterusan selama 1000 tahun." Kasihanilah pelaksana hukumannya.
- Nota Daripada Penulis Tentang Judul Buku Melayu
- Nota Umum Penterjemah (Mengikut tertib abjad)
- Kata Pengantar oleh Dr. Khaleel Mohammed
- Surat
- Bab 1 - Bagaimana Aku Menjadi Seorang Refusenik Muslim
- Bab 2 - Tujuh Puluh Perawan
- Bab 3 - Sejak Bila Kita Berhenti Berfikir?
- Bab 4 - Pintu-pintu Gerbang dan Kutang-kutang
- Bab 5 - Siapa Mengkhianati Siapa?
- Bab 6 - Bawah Perut Islam Yang Tersembunyi
- Bab 7 - Operasi Ijtihad
- Bab 8 - Menyanjung Kejujuran
- Bab 9 - Mujurlah ada Barat
- Pembacaan Yang Disyorkan
- Penghargaan
- Kata Hujungan
- Kata-kata Penghargaan Daripada Penterjemah
Documentary

Irshad's PBS Documentary: Faith Without Fear follows my journey around the world to reconcile Islam and freedom.
Learn More and View Clips...
Buy Now in the USA
Buy Now in Canada
Get Involved

Irshad is pioneering efforts throughout the world to promote Muslim reform and moral courage. To join her mission, first get informed about all that she's doing.
Click here for concrete actions you can take to support Irshad's work.
Get Updates
Want to sign up for Irshad's confidential mailing list?
Click here to go to the subscribe page.
![]()
Click here to see photos of Irshad's latest
events and read her newsletters.
Around the Web
Join conversations about Muslim reform and moral courage around the web.
Click the links below to get involved:




