photo

Book

book cover

The Trouble With Islam Today: A Muslim's Call for Reform in Her Faith. Published in more than 30 countries and languages.

Learn More

Buy the US paperback
Amazon | Barnes & Noble

Audio Book

Audio Book

The Trouble With Islam Today, narrated in English by Irshad Manji, with music by Deeyah and Gary Justice.

Buy Now

Free Translations

For where the book is banned, censored, or difficult to access:

button
button
button_lang button button

Reformist Quran

2.jpeg

A progressive, 21st-century translation -- in English. The U.S. publisher bailed on it after the Prophet Muhammad cartoon riots. But fear didn't stop the translators.

Read and interpret for yourself.

HARAPAN UNTUK ISLAM HARI INI

Bab 2 - Tujuh Puluh Perawan

Setelah tersingkir dari madrasah, aku terus bergelut dengan persoalan ini: Haruskah aku mengucapkan selamat tinggal kepada Islam? Untuk menjawabnya, diri ini perlu memahami apa yang ada dalam Islam yang membuatnya jauh lebih tegar hari ini daripada saudara-saudara spiritualnya, agama Kristian dan agama Yahudi. Aku memulakannya dengan cabaran daripada bos aku.

Apa yang menganggu jiwaku bukan hanya kisah mangsa rogol di Nigeria. Pilihlah mana-mana negara Islam, kezaliman berleluasa di mana-mana negara Islam. Di Pakistan, secara purata dua orang wanita maut akibat "pembunuhan kehormatan"*, sering kali dengan lafaz nama Allah oleh para pembunuh.1 Di Mali dan Mauritania, kanak-kanak lelaki diperdaya untuk menjadi hamba-abdi oleh pengecong-pengecong Muslim.2 Di Sudan pula, perhambaan berlaku di tangan pihak militia Islam.3 Di Yemen dan Jordan, pekerja-pekerja badan kebajikan Kristian ditembak dalam jarak dekat. Di Bangladesh, artis-artis yang menyokong hak-hak penganut agama minoriti* dilokap dan dibuang negeri.4 Semua ini didokumentasikan.

Ah ya, aku keliru lagi di antara budaya dan agama kata kalian. Benarkah aku kekeliruan? Walaupun di Toronto, yang mana budayanya jauh berbeza dengan Pakistan, satu bentuk Islam kasar dan zalim pesat membangun. Jangan ke mana-mana, aku akan beritahu kalian bagaimana aku mengetahui perkara ini.

Tidak lama selepas menerima sampul surat daripada Moses, aku mendedikasikan satu episod khas QueerTelevision tentang realiti yang dihadapi oleh golongan gay dan lesbian Muslim. Antara kisah-kisah yang dipaparkan adalah mengenai seorang lelaki gay yang meninggalkan Pakistan untuk bermastautin di London dan seorang lesbian yang melarikan diri dari negara asalnya, Iran dan menetap di Vancouver.

Miriam, lesbian tersebut, telah dikecam dengan gelaran " laknat dunia" oleh pegawai agama di negara asalnya. Aku memainkan pita video yang diseludup dari Iran untuk menunjukkan apa yang mungkin dihadapinya sekiranya dia terus kekal di Iran dan ditangkap. Pita ini menunjukkan dua orang wanita, dibalut hidup-hidup dengan kain putih, dimasukkan ke dalam dua lubang yang baru digali. Sekumpulan lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki mula merejam batu-batuan sebesar penumbuk ke arah kepala wanita-wanita ini.5 Kebanyakannya mengena sasaran dan darah terpancut-pancut dari kepala mereka. Miriam menjelaskan, mengikut undang-undang, setiap perejam batu harus mengapit sebuah di bawah ketiaknya agar rejaman dan lontaran tidak terlalu deras dan kuat. Peraturan tersebut nampaknya dtidak diendahkan selalu. Kerana bimbang akan nyawanya, Miriam menceritakan kisahnya di dalam siluet.

Adnan, lelaki Muslim gay tersebut, bersetuju untuk muncul di hadapan kamera. Dia percaya bahawa Quran melarang hubungan sejenis, tetapi dirinya sudah tidak kisah lagi dengan larangan ini. Lagipun, Adnan tidak berhasrat untuk menemukan teman lelakinya dengan semua Muslim, cuma dengan ibunya di Pakistan. Walaupun pengiktirafan dari pihak agama itu baik sekiranya ada, ia tidak sama sekali diperlukan – sama sekali tidak diperlukan di kota London yang liberal, tempat kediaman Adnan dan teman lelakinya. Episod tersebut diakhiri dengan ulasan seorang penasihat Pusat Kebudayaan Islam London* yang menyeru orang ramai supaya merendah diri apabila mengadili golongan gay dan lesbian. Walaupun Islam seolah-olah tidak menerima homoseksualiti, kata dia, "segala-galanya mungkin" dengan Tuhan Yang Maha Agung.6

Tahu tidak apa yang berlaku selepas rancangan ini selesai ke udara? Daripada semua aduan yang aku terima dari umat Islam Toronto, tuduhan yang paling biasa adalah bahawa " khinzir-khinzir" dan " anjing-anjing" ini sebenarnya ialah orang-orang Yahudi. Rakaman video yang begitu zalim dan kejam langsung tidak dihiraukan dan diambil kira, termasuk kesanggupan Adnan untuk menerima larangan agama terhadap hubungan sejenisnya, dan termasuklah seruan penasihat agama tadi agar kita harus merendah diri. Tidak ada satu pun yang kekal dalam ingat para Muslim marah yang menulis dan memanggil pejabat aku. Nyata sekali mereka tidak menerima bahawa golongan gay dan lesbian pun adalah sebahagian daripada mereka. Golongan homoseksual dilihat sebagai cacat-cela oleh "mereka". Sikap ini terpancar dari kota kosmopolis kurun kedua-puluh satu.

Aku loya dengan keadaan ini. Tidak kiralah di dalam persekitaran budaya apa pun yang dihuni umat Islam, luarbandar atau digital, dan mana-mana generasi pun, samada diwakili dengan sebuah masjid 1970-an untuk para pendatang, atau sebuah kota yang dihubung rapat dengan media untuk alaf baru, Islam muncul sebagai agama yang menampakkan ciri-ciri kesukuan. Terlintas juga di kepala ini samada perlu tidak reformasi* untuk diri kita.

Tetapi apakah erti – " reformasi"? Terus terang aku katakan, aku pun tidak beberapa pasti. Setahu aku ialah para pengikut agama-agama yang disebut dalam sejarah sebagai agama-agama yang "mengalami reformasi" ini tidak menunjukkan ciri-ciri mentaliti kesukuan yang jelas kelihatan di kalangan umat Islam. Para pemimpin Kristian sedar akan aneka ragam dan kepelbagaian intelektual dalam agama mereka. Walaupun mereka mungkin tidak bersependapat dengan satu sama lain, mereka semua bersetuju bahawa wujudnya kepelbagaian pendapat dan tafsiran. Bagi kaum Yahudi pula, mereka lagi jauh di hadapan. Malah umat Yahudi menyiarkan percanggahan pendapat mereka dengan memenuhi kitab-kitab mereka dengan komentar-komentar dan ulasan-ulasan dan menggabungkan pembahasan dan debat ke dalam Talmud itu sendiri. Sementara itu, kebanyakan orang Islam hanya menganggap Quran sebagai sebuah dokumen untuk dijadikan ikutan sahaja dan bukan untuk ditafsir, memperkecil-kecilkan keupayaan berfikir yang terdapat pada diri kita.

Malah di Barat pun, umat Islam diajar dari semasa ke semasa bahawa Quran itu ialah manifesto kehendak Tuhan yang terakhir, menggantikan Injil dan Taurat*. Sebagai manifesto terakhir, ia adalah kitab yang "sempurna" – tidak boleh dipertikai dan dianalisa, hanya untuk diimani. Sememangnya, perkataan pertama yang didengar oleh Nabi Muhammad daripada Malaikat Jibril sebagai wakil Tuhan, ialah " Lafazlah*!" Terjemahan lain pula menterjemahkannya sebagai " Bacalah". Sebahagian besar daripada kita hanya mampu membunyikan ayat-ayat Quran dan tidak lebih dari itu. Langkah seterusnya yang patut kita ambil ialah berusaha untuk membuat tafsiran.

Sama juga ceritanya dengan sumber teologi Islam yang kedua, kumpulan hadith-hadith. Ini adalah laporan-laporan " sahih" mengenai sabda Nabi Muhammad dan perlakuan baginda. Dikatakan mana-mana persoalan yang tidak terjawab oleh Quran dengan jelas, maka hadithlah mengambil tempatnya. Kumpulan hadith-hadith ini dikumpul dan dikatalogkan oleh para ilmuwan yang ternama untuk rujukan dan penggunaan kita. Apa yang perlu kita lakukan ialah berserah kepada hadith-hadith ini (atau, lebih tepat lagi, kepada hadith-hadith yang dipilih oleh para imam kita). Oh, bagaimana pula dengan masalah tentang sifat kemanusiaan Nabi Muhammad dan maka terdedah kepada kemungkinan melakukan kesilapan jujur? Sssh. Oleh kerana hadith-hadith ini mengisahkan kehidupan utusan Tuhan terakhir kepada umat manusia, syak-wasangka dan keraguan terhadap hadith-hadith tidak boleh diterima sama sekali.

Nampak tidak ke mana hala tuju kita? Ke destinasi yang bernama Mati-Akal. Apabila pencabulan dan kezaliman berlaku di bawah naungan Islam, kebanyakan orang Islam tidak mengerti untuk berhujah, menilai semula atau berubah. Ada juga yang mengatakan pencabulan dan kezaliman tidak mungkin berlaku jika kita mentaati segala perintah kitab suci. Ah! Corak pemikiran yang tidak masuk akal langsung! Keadaan minda yang sedemikianlah yang menyebabkan minda-minda paling cerdas kita menjadi bodoh dan merbahaya.

Sudah tentu, setiap agama mempunyai para pengikut yang mengikut-ikut sahaja tanpa soal-selidik. Tetapi yang membezakan Islam daripada agama lain adalah budaya ikut-ikutan ini atau taqlid ini adalah aliran utama*. Bruce Feiler seorang penulis Amerika menyedari kewujudan perbezaan yang nyata ini semasa dia melakukan kajian untuk bukunya yang berjudul Abraham: A Journey into the Heart of Three Faiths. Di Baitulmaqdis, Feiler bertemu dengan imam Masjidil Aqsa, Sheikh Abu Sneina. Imam tersebut menekankan kesempurnaan Islam kepada dia. Berbahasa Inggeris ala-London, dia memberitahu Feiler yang "saudara harus mengikut nabi terakhir" yang diutus Tuhan.7 Sekiranya tidak, "saudara akan mati di dalam seksaan Tuhan, seperti jutaan Yahudi yang " dipanggang hidup-hidup" oleh Hitler dengan izin ilahi. Feiler meninggalkan temubual tersebut dengan perasaan jijik, dan menceritakan insiden ini kepada seorang wartawan yang membuat pengkhususan dalam agama. "Malangnya," kata wartawan itu, "[Sheikh Sneina] mewakili aliran utama Islam hari ini. Kalian boleh jumpa Yahudi yang berpendirian sedemikian, tetapi tidaklah begitu ramai. Kalian boleh jumpa Kristian apokaliptik*, tetapi bilangannya terbatas. Imam kalian mewakili kebanyakan umat Islam, setidak-tidaknya di sini.8

Sneina menguasai banyak rangka minda Muslim, tidak terhad kepada Baitulmaqdis tetapi merangkumi Muslim yang berada di perantauan. Izinkan aku memetik satu laporan pada 2002 yang dikeluarkan oleh Academy for Learning Islam yang berpangkalan di kampung halaman aku, Richmond. Akademi ini mendakwa bahawa dua puak Islam, Sunni dan Syiah, mempunyai banyak persamaan."Kedua-dua mempercayai kebenaran dan kesempurnaan Quran-ul Karim. Kedua-duanya mengakui Muhammad sebagai rasul Tuhan yang terakhir dan berusaha meniru kata-kata dan perlakuan baginda."9 Apabila ikut-ikutan ( taqlid) menjadi aliran utama, kebanyakan di antara kita gagal mengesan prejudis yang ada pada diri – dan menolak sama sekali adanya masalah ini. Kita percaya bahawa kita hanya harus beriman dan tidak memerlukan usaha lebih daripada itu.

Surat yang hebat mengecam diterimaku sebagai pengacara QueerTelevision menggambarkan apa yang aku maksudkan. Setiap kali aku menyiarkan komentar-komentar anti- gay daripada golongan Kristian yang memetik Alkitab, para Kristian lain pasti akan menandingi komentar-komentar ini dengan tafsiran lain yang memaparkan toleransi. Perkara yang seumpama tidak berlaku apabila golongan Muslim menghentam aku dengan kata-kata kesat. Mereka seolah-olah menampakkan segala bentuk kekesatan yang ditunjukkan mereka adalah demi Islam. Tetapi bukan pula maksud aku untuk mengatakan bahawa setiap Muslim menentang golongan homoseksual. Al-Fatiha ("pembukaan" memberi implikasi avant-garde*) ialah pertubuhan gay dan lesbian Muslim yang mempunyai cawangan-cawangan di kotaraya-kotaraya besar di Amerika Utara dan Eropah. Di Toronto, paling tidak, majlis makan malam tahunannya menarik kehadiran sesetengah ibubapa-ibubapa yang beragama Islam. Walaupun tidak semua yang berkongsi semangat prejudis Islam aliran utama, tidak ramai pula di kalangan kita untuk membolehkan dialog-dialog dilakukan dengan pihak aliran utama. Mungkinkah ini sebabnya tidak ada seorang Muslim pun menulis atau memanggil QueerTelevision dengan satu tafsiran Quran yang alternatif dan lebih bersifat penyayang?

Bersandarkan latarbelakang ini, aku tidak sahaja sudah bersedia menyahut cabaran Moses, malah memperluaskannya lagi. Untuk memastikan samada Islam benar-benar tegar, aku mulakan dengan persoalan-persoalan "orang lain" di dalam Islam – soal wanita, ya, juga soal Yahudi. Dan Kristian. Dan hamba-abdi. Dan sesiapa jua yang dizalimi di Dunia Islam hari ini. Apa kata Quran tentang makhluk-makhluk Tuhan ini? Adakah ia jelas mengenai perkara-perkara tertentu seperti, menyokong perbuatan menyebat mangsa rogol walaupun terdapat saksi yang begitu ramai yang menyaksikan jenyah terhadap dirinya? Benarkah Quran menegah wanita daripada mengimamkan sembahyang?

Untuk beberapa bulan seterusnya, aku membaca semula kitab suci Islam dengan lebih teliti dan berhati-hati buat kali pertama dalam hidup aku.

Aku bermula dengan persoalan tentang wanita. Siapa yang dicipta Tuhan dahulu – Adam atau Hawa? Quran tidak pula menyebut dengan jelas mengenai perkara ini. Tuhanmu ‘ menciptakan kamu dari diri yang satu’, dan ‘ menciptakan pasangannya’ dari dirinya.”10 Siapa yang satu itu dan pasangan siapa? Itu semua tidak relevan.11

Malah tidak disebut juga tentang rusuk Adam yang digunakan untuk mencipta Hawa seperti yang disebut di dalam Alkitab*. Quran tidak pula menyalahkan Hawa kerana menyebabkan Adam termakan buah larangan. Tiada ada apa menyarankan ketinggian martabat kaum lelaki di sini. Quran mengingatkan para Muslimin bahawa mereka bukan Tuhan, dan mereka harus berlaku adil sesama sendiri. Ayat ini diakhiri dengan pernyataan yang amat mesra-wanita: "Hormatilah ibu-ibumu yang telah melahirkanmu. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu."12

Tetapi apa yang menghairankan aku ialah dalam surah yang sama –beberapa baris dari ayat di atas tadi – nada Quran berubah dengan serta-merta. Menurutnya: Lelaki mempunyai kuasa ke atas wanita kerana Tuhan telah melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka memberi nafkah dan hartanya. Maka perempuan-perempuan yang beramal saleh, adalah mereka yang taat...Perempuan-perempuan yang kamu khuatirkan akan nusyuz, hendaklah kamu beri teguran, tinggalkanlah mereka di tempat tidur, dan pukullah mereka."13

Izinkan aku menghuraikan perkara ini: Untuk dihukum pukul, seorang wanita itu tidak payah mengikari perintah sesiapapun tetapi memadai sekiranya sudah timbulnya kekhuatiran pada pihak lelaki. Sifat tidak yakin pada diri sendiri yang terdapat pada kaum lelaki menjadi masalah wanita. Aku tahu aku membuat kesimpulan yang terlalu mudah di sini, tetapi oversimplikasi ini juga berleluasa dalam banyak undang-undang dan peraturan yang tidak berperikemanusiaan ini. Aku akan memberi contoh kukuh di sini. Sebaris ayat Quran – bahawa lelaki boleh menguasai wanita kerana mereka "memberikan nafkah dan hartanya" untuk menjaga wanita telah mempengaruhi Deklarasi Kaherah, piagam hak asasi manusia yang diiktiraf oleh negara-negara Islam pada 1990. Salah satu klausanya mengakui kesetaraan taraf dan martabat di antara lelaki dan wanita. Tetapi klausa seterusnya menamakan lelaki sebagai pencari nafkah.14 Ia tidak menyatakan preferensi terhadap kaum lelaki sebagai pencari nafkah, tetapi mengisytiharkan" seorang suami itu bertanggungjawab untuk sokongan dan kebajikan keluarganya." Dan oleh kerana Quran menyatakan para suami berhak ke atas wanita melalui peranannya sebagai pencari nafkah, yang lain-lain itu, kalian buatlah kesimpulan sendiri.

Berlatarkan kes mangsa rogol Nigeria yang telah aku sebut beberapa kali, satu lagi petikan dari Quran memeranjatkan aku."Wanita-wanita adalah ladang bagimu," menurutnya."Maka datangilah ladangmu itu bila sahaja dengan cara yang kamu suka. Berbuat baiklah dan takutkan Tuhan."15 Hah? Datangi perempuan pada bila-bila sahaja, dan berbuat baik? Adakah wanita itu pasangan atau harta milik lelaki? Wanita adalah pasangan menurut pendapat Jamal Badawi, seorang ilmuwan Quran yang terkemuka. Dia meyakinkan yang ayat tersebut boleh digunakan sebagai dalil naqli untuk mempertahankan amalan percumbuan.16 Seperti ladang-ladang, wanita-wanita memerlukan belaian kasih sayang untuk menukar air mani lelaki menjadi manusia. "Benih peladang tidak ada nilainya sekiranya tanah ladang tidak subur," tambah Badawi, yang tampak puas dengan penjelasan progresif yang dikemukan oleh dirinya. Tetapi dia hanya menjelaskan, "Datangailah ladangmu." Bagaimana pula dengan kata-kata, "bila sahaja dengan cara yang kamu suka"? Tidakkah kata-kata ini memberi kaum lelaki kuasa yang tidak terbatas? Persoalan yang masih kekal: Paradigma yang mana satu disukai Allah – Adam dan Hawa sebagai pasangan yang setara, atau wanita-wanita sebagai tanah ladang yang perlu dibajak (maafkan aku, dibelai) apabila nafsu memuncak?

Sebenarnya, aku tahu mana satu tafsiran idaman hati tetapi aku tidak pasti (masih tidak pasti) yang mana satu menjadi keredhaan Tuhan. Dalam banyak-banyak percanggahan ini , tidak ada siap yang benar-benar tahu. Orang-orang yang ingin memukul perempuan boleh menggunakan hujah yang paling lemah dari Quran. Begitu juga bagi orang-orang yang tidak ingin melihat perempuan mengimamkan sembahyang. Begitu juga halnya dengan orang-orang yang ingin memperjuangkan persamaan hak pun dapat menjumpai barisan ayat yang menyokong tindakan ini.

Di dalam menjawab bagaimana aku menyelaras kepercayaan aku sebagai seorang Muslim dengan sebatan kejam mangsa rogol, aku menyimpulkan yang aku tidak dapat menyelaraskannya dengan mudah. Aku tidak melafazkannya dengan lancar, seperti dilakukan ramai feminis Muslim, bahawa Quran itu sendiri menjamin keadilan. Aku tidak boleh melupakan para juri di Nigeria yang telah mengaplikasi perundangan Syariah tanpa membuat pertimbangan wajar. Quran tidak memperlihatkan sifat egalitarian jelas untuk perempuan dan wanita. Ianya tidak jelas tetapi penuh dengan kebingungan. Minta maaf Noam Chomsky, umat Islamlah yang menghasilkan ' kebenaran' atas nama Allah. Keputusan-keputusan yang kita buat berdasarkan Quran bukanlah yang diperintahkan Tuhan, kita membuat keputusan-keputusan tersebut hasil daripada akal bebas kita.

Mungkin perkara ini jelas bagi Kristian dan Yahudi aliran utama, tetapi tidak pula demikian halnya buat seorang Muslim yang dibesarkan – seperti kebanyakan kita – mempercayai segala ajaran Quran berada di " jalan lurus," dan menjadi satu-satunya tanggungjawab dan hak kita untuk mengikut, meniru dan menuruti secara membuta. Ini ialah pembohongan besar. Dengar tidak? Satu pembohongan yang amat besar!

Jauh daripada sempurna, kenyataan-kenyataan Quran yang sering bercanggah itu memaksa para Muslim yang hidup "berpandukan Quran" untuk memilih yang manauntuk diberi penekanan dan yang mana untuk diendahkan.Mungkin cara ini lebih mudah – setiap daripada kita boleh merasionalisasikan kecenderungan diri untuk berat sebelah dengan mengemukakan ayat tertentu dan tidak menghiraukan terus ayat-ayat yang lain. Kedua-dua golongan liberal dan militan menyembunyikan aspek-aspek Quran yang negatif sambil menepis segala kecaman yang dilontarkan oleh pihak lawan. Kita semua mempunyai agenda, ada yang lebih adil daripada yang lain.

Tetapi selagi lagi kita masih terperangkap dalam permainan membuktikan dogma masing-masing ini, kita masih gagal melihat cabaran yang lebih utama. Cabaran tersebut ialah menyoal secara terbuka perihal kesempurnaan Quran agar rempuhan untuk menentukan apa sebenar yang dimaksudkan Quran boleh diperlahankan dan diharap dengan peredaran masa ia akan menjadi latihan literasi menggantikan literalisme. Pada peringkat ini, reformasi bukanlah mengarah orang Islam biasa apa yang tidak boleh difikirkan, tetapi tentang memberi izin kepada 1 bilion umat Islam untuk berfikir. Memandangkan terdapat banyak percanggahan di dalam Quran, terutamanya mengenai wanita, kita perlu berfikir.

Untuk memperluas idea ini, aku akan melihat sama ada wujudnya satu corak di dalam inkonsistensi-inkonsistensi yang jelas terdapat di dalam Quran. Dalam erti kata yang lebih mudah, adakah kitab suci Islam pun agak kabur dan bercanggah mengenai isu hak-asasi manusia lain, seperti perhambaan? Kalau ya, ada tidak ruang untuk orang Islam mebuat pilihan sebagai Muslimin kurun kedua puluh satu? Aku terfikir tentang Sudan dan kemudiannya membaca tentang perdagangan hambanya. Di Khartoum, "satu rejim Muslim ala-Taliban sedang mengisytiharkan perang jihad" ke atas orang-orang Kristian, penganut Animisme dan orang-orang Islam yang bukan berbangsa Arab. Ini menurut Charles Jacobs, president Kumpulan Anti-Perhambaan Amerika dan pengarah Kempen Sudan. Jacobs memerhati "serangan ke atas Khartoum menghidup semula perdagangan hamba kulit hitam, yang hampir dihentikan sepenuhnya oleh pihak British satu abad yang lalu...Setelah kaum lelaki mereka disembelih, perempuan dewasa dan kanak-kanak dan kanak-kanak lelaki akan diperkosa dan dirogol – atau leher mereka dikelar sekiranya melawan. Yang masih hidup akan diarak ke utara dan dibahgi-bahagikan kepada tuan-tuan Arab, wanita dewasa menjadi gundik, kanak-kanak perempuan menjadi pembantu rumah, kanak-kanak lelaki pula menjadi pengembala kambing."17

Sekali lagi fikiran aku melayang ke Nigeria Utara, satu lagi tempat di mana pemerintah-pemerintah Muslimnya menggalakkan pengambilan penganut Kristian sebagai hamba. Baiklah, aku menerima punca peperangan sivil lebih berkait rapat dengan faktor politik daripada faktor agama. Akan tetapi, aku yakin Quran memainkan sedikit-sebanyak peranan dalam politik primitif ini. Sejauh mana peranan Quran dalam hal ini menjadi persoalan aku. Aku menemui petikan ini:"Dan jika hamba sahaya yang kamu miliki, menginginkan perjanjian (kebebasan), hendaklah kamu buat perjanjian kepada mereka..."18

Wah. Aku terpaksa berhenti seketika dan cuba memahami ayat tersebut. Apabila dibaca dengan teliti, kalian akan menyedari Quran tidak menganjur kita untuk membebaskan semua hamba, hanya mereka yang difikirkan mampu mencapai kedudukan yang lebih baik oleh pemilik-pemilik mereka. Ianya langsung tidak serasi dengan sensibiliti akal, nilai etika dan keupayaan membuat pilihan kita kan? Dalam erti kata lain, orang Islam berupaya untuk meninggalkan amalan-amalan kurun ketujuh tanpa sebarang masalah dengan kebenaran Quran – jika kita memilih untuk berbuat demikian. Quran memberi pilihan kepada perangka undang-undang di Nigeria untuk mengemaskini, seperti membanteras punca-punca berlakunya perhambaan. Begitu juga keadaannya dengan isu wanita, sama seperti perhambaan: Keputusan-keputusan yang dibuat oleh para Muslim adalah keputusan-keputusan kita sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan Tuhan.

Boleh jadi Islam tidak sahaja tidak ada toleransi terhadap orang perseorangan Muslim yang mentafsir Quran untuk diri-sendiri, tetapi mungkinkah itulah juga satu-satunya cara mengenali untuk "Kenali Islam Kalian ( Know Your Islam)"?

Kembali bertenaga, aku menyemak fail hak asasi manusia: layanan terhadap kaum bukan Islam. Kerana Islam berasal dari tradisi Yahudi-Kristian, Quran banyak memperkatakan tentang golongan Yahudi dan Kristian. Ia begitu kasih dengan Nabi Ibrahim. Ia menyanjung Nabi Isa sebagai "al-Masih" lebih daripada sekali.19 Bonda Nabi Isa, Mariam, pun diberi beberapa pujian, Quran mengingatkan kita tentang "ketinggian darjat" bangsa Yahudi.20 Ketinggian darjat? Kaum Yahudi? Aku menyemak beberapa terjemahan Bahasa Inggeris untuk kepastian. Dengan kata-kata yang begitu mesra dan hangat terhadap moyang rohaniah kita, maka tidak hairanlah Quran menyeru kaum Yahudi dan Kristian agar bertenang, dan "tiada apa yang harus mereka takuti dan kesali" selagi mereka taat dengan kitab-kitab suci mereka.21

Pada masa yang sama, Quran juga menyebut secara terang-terangan bahawa Islam itu satu-satunya agama yang benar.22 Pelik. Atau betulkah pelik? Terdapat satu idea yang teramat mustahak di sini – lebih-lebih lagi dalam dunia yang berbelah bahagi sekarang – dan ia menjelaskan kenapa Islam diturunkan.

Segala apa yang diimani oleh umat Islam telah diwahyukan beribu-ribu tahun dahulu apabila diturunkan kepada bangsa Yahudi. Apabila sesetengah orang Yahudi menyimpang daripada Kebenaran yang diwahyukan, dengan menyembah anak lembu emas, Tuhan murka. (Aku tahu: Pencipta yang macam mana cemburu akan anak lembu? Aku rasa Pencipta yang tidak henti-henti menyatukan suku-suku yang berperang di antara satu sama lain melalui satu kepercayaan agama yang dikongsi bersama.) Berbalik kepada lembu. Kebangkitan semula amalan pemujaan berhala menyebabkan seorang keturunan Nabi Ibrahim datang untuk mengingatkan dunia bangsa Semitik* akan kebenaran Tuhannya. Maka turunnya Nabi Isa. Begitu juga Alkitab (Bible) yang mengandungi Kitab-kitab Ibrani Nabi Musa (dikenali sebagai Perjanjian Lama oleh umat Kristian). Lama-kelamaan sesetengah daripada golongan penganut Kristian ini mula mendakwa Nabi Isa sebagai Tuhan dan sekaligus anak Tuhan dan bukan setakat utusan manusia yang dipilih dan diutus Tuhan. Masalah syirik muncul sekali lagi.

Jadi, sekitar 610 Masihi, Tuhan mengutus Nabi Muhammad, seorang lagi keturunan Nabi Ibrahim, untuk memperbetul kaum Yahudi dan Kristian. Itulah sebab Islam kembali kepada ajaran Yahudi yang asli demi inspirasi dan integriti. Tidak kiralah berapa banyak kali aku membuka Quran, seruan-seruan untuk menghormati kitab-kitab terdahulu tidak pernah terhenti.

Selamat datang ke idea yang paling mustahak: Keangkuhan kesukuan dan asabiyah tidak mungkin ialah Kebenaran. Apabila aku membaca semula Quran untuk mengenali "orang lain" itu, aku mula memahami bahawa bukan semua Yahudi yang harus kita elak tetapi Yahudi yang mempersendakan dan menafikan kebenaran Islam. Dan orang Islam tidak boleh juga menafikan kesahihan agama Yahudi, sebab dengan berbuat demikian kita pun sebenarnya mempertikai agama kita sendiri.

Tetapi jika agama Yahudi dan Islam adalah satu agama, kenapa perlu ada entiti berbeza untuk kedua-duanya? Apa gunanya mengekalkan agama Kristian? Atau Hinduisme, Buddhisme, Sikhisme, malah ' isme' lain-lain? Kenapa kita tidak nampak yang kita semua ini makhluk Tuhan Yang Esa? Quran tidak mengelak daripada memperkatakan mengenai persoalan-persoalan ini. Menurut Quran, agama-agama yang berlainan ini harus wujud agar manusia berinsentif untuk bersaing untuk "melakukan pekerjaan yang baik".23 Ia mengaku bahawa kebaikan tidak dapat dilakukan dengan hanya bertegang urat menentukan siapa yang "benar-benar" melaksanakan kehendak Tuhan. Aku mahupun kalian tidak akan tahu. Quran menjamin bahawa pertelingkahan doktrinal akan diselesaikan apabila kita kembali kepadaNya kelak. Buat masa sekarang, kita kena bersaing dan melakukan yang terbaik . Satu hal lagi, Tuhan mencipta pelbagai jenis orang agar kita mempunyai insentif untuk mengenali sesama sendiri. Pencipta kita menjadikan kita berbeza-beza supaya kita dapat bercampur-gaul dan bukannya sebagai satu alasan untuk bermusuh-musuhan.

Aku mengaku itulah yang mahu aku fahami. Tetapi segala-galanya terpulang kepada tafsiran masing-masing, kerana Quran tidak menggalakkan kita orang Islam daripada bersahabat dengan Yahudi dan Kristian "melainkan kita juga masuk golongan mereka. Ia memperkatakan tentang mereka sebagai manusia orang-orang zalim yang tidak diberi pedoman oleh Tuhan."Ia juga menyebut tentang memukul, membunuh dan mengenakan cukai jizya terhadap orang bukan Islam sebagai ufti kepada pemerintah-pemerintah Muslim."24 Petikan-petikan sebeginilah yang memustahilkan usaha-usaha ke arah dialog antara agama. Bagi orang-orang ini, penganut bukan Islam boleh wujud tetapi sama sekali tidak setaraf dengan umat Islam. Tambahan pula bagi golongan ini, Islam memiliki kalam yang sempurna dan nabi terakhir. Ia sebenarnya cara Quran dibaca dan cara inilah yang dipilih kita samada sedar atau tidak.

"Perlahan sedikit," kalian memprotes, "Bukan aku yang memilih tafsiran sebegini sama sekali. Aku tidak menghalang jiran aku daripada menyambut Hanukkah, jadi jangan golongkan aku dalam golongan pembenci-Yahudi. Aku baik." Ya, mungkin kalian sememangnya seorang yang baik. Tetapi bolehkah kalian menanya diri kalian soalan ini: Sudahkah aku memilih untuk mencabar kepercayaan Islam aliran utama yang memperlekehkan agama Kristian dan Yahudi? Taksub dengan kepercayaan sendiri, tidak pula terlintas dalam fikiran kita kerosakan yang akan menimpa dunia dengan sikap ini. Naluri kita menyuruh kita menerima sahaja hakikat ini.

Adakah aku membesar-besarkan perkara ini? Beritahu aku selepas kalian membaca kisah ini. Beberapa minggu sebelum 11 September, aku memasuki satu panel Muslim di TV nasional to "membincangkan imej-imej Dunia Islam."25 Kebanyakan ahli panel hanya mengutuk dan mengecam Barat seperti menuduh Hollywood yang selalu memaparkan orang kita sebagai fanatik dan fanatik itu kebiasaannya berkulit gelap dan lain-lain ulasan boleh aku agak. Bosan dengan hujah auto-pilot* ini, aku mengeluarkan pendapat yang berbeza sekali: yakni kita penganut Islam tidak memberi peluang kepada orang ramai berkenaan diversiti yang terdapat dalam komuniti kita. Di mana umat Islam Toronto, Vancouver atau Montreal apabila Taliban menjatuhkan patung-patung Buddha pra-Islam yang mengawasi Lembah Bamiyan Afghanistan? "Tidak ada paksaan dalam agama," nyata Quran.26 Kita tidak boleh mengharapkan perkara yang sama daripada pihak Taliban, tetapi kenapa umat Islam di Barat berdiam diri dan membisu terhadap perbuatan Taliban ini? Kenapa tidak ada orang Islam yang membuat bantahan besar-besaran di jalanan?

Aku tunggu.

Satu-satunya respons datang daripada seorang feminis Muslim yang aktif juga."Manji," ujar dia, "tahukah kalian apa yang sedang berlaku terhadap umat Islam di Palestin? Tolonglah?! Kembalikan aku ke bumi, atau hantar aku ke satu tempat di dalam sistem suria di mana kita mampu membezakan di antara keadilan dan justifikasi. Aku akan memberinya sebanyak ini: Sudah tentu ada hubung kaitnya antara peningkatan totalitarianisme Islam dan kemelut politik Timur Tengah. Tetapi bagaimana perhubungan yang bertekstur ini menjustifikasikan kebisuan Muslim di Barat terhadap puak Taliban yang bersikap supremasis kitabi, yang mengebom-Buddha, yang membelasah-wanita, yang mengharamkan permainan layang-layang, yang menyukai-pembunuhan?

Ia tidak. Respons yang diberikan oleh "saudara perempuan" seIslam aku itu tidak memadai. Mengambil kira pemikiran kritisnya tentang Barat, nampaknya dia memakai Islam-tidak- berfikirnya* seperti burqa dari kepala hingga ke hujung kaki. Jika itulah yang termampu dilakukan oleh seseorang yang mendakwa-dirinya sebagai seorang feminis, aku menggeletar memikirkan hala tuju kita semua.

SEMUA ORANG MENUMPU PADA TARIKH 11 SEPTEMBER. AKU PULA MENUMPU KEPADA hari-hari yang berikutan. Apa jaminan yang kita beri kepada media, ahli politik, dan diri kita mengenai Islam? Dengan muka-muka murung, kita mengatakan yang agama kita sudah "dirampas".27 Betul, Amerika, dirampas. Kami bersama-sama kalian, Jerman. Kami cintakan kebebasan juga, Australia,. Kita bersama-sama dalam hal ini, Kanada. Kita sama –sama dirampas.

Aku tidak tahan dengan metafora ini. Ia mengimplikasikan Islam itu sendiri pesawat yang sedang menuju ke syurga hak asasi manusia, dan sekiranya 11 September tidak berlaku, penumpang-penumpang 'Air Quranistan'* akan sampai ke destinasi ini tanpa sebarang masalah, terima kasih banyaklah. Dirampas. Seolah-olah agama kita tidak memainkan peranan langsung di dalam satu tindakan keganasan yang dilakukan oleh orang Islam. Dirampas. Satu perkataan mempunyai nilai emosi yang tinggi yang membebbaskan orang Islam aliran utama daripada tanggungjawab untuk menjadi lebih kritikal terhadap diri dan mennyembunyikan satu sisi Quran yang kurang disenangi dan peranan yang dimainkannya di dalam memaklumkan terrorisme.

Pasca 11 September, aku mendengar mantera ini diulangi oleh umat Islam: Quran dengan jelas menyatakan bila dan keadaan jihad boleh diisytiharkan, dan para pengganas dengan nyata sekali melanggari peraturan ini. Memetik seorang ilmuwan, "[Allah] berfirman dengan jelas bahawa membunuh nyawa yang tidak berdosa umpama membunuh seluruh umat manusia."28 Ia sebenarnya berbunyi begini: "Kami perintahkan Bani Israel barangsiapa yang membunuh seorang manusia, kecuali sebagai hukuman terhadap jenayah bunuh dan lain-lain kesalahan, samalah seperti membunuh seluruh umat manusia." Malangnya, klausa yang bermula dengan "kecuali" dapat digunakan untuk melancarkan jihad mereka.29

Osama bin Laden, sebagai contoh, mengumumkan jihad terhadap seluruh Amerika Syarikat pada akhir tahun 1990-an. Dia dibantu Quran. Berbalik ke frasa, "kecuali sebagai hukuman terhadap jenayah bunuh atau lain-lain kesalahan," Benarkah sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Iraq menyebabkan "pembunuhan" lebih daripada setengah juta kanak-kanak dan angka itu sentiasa meningkat? Begitulah kepercayaan bin Laden. Boleh tidak kita menganggap kesan-kesan tapak kasut but tentera Amerika sebagai "lain-lain kesalahan"? Kepada bin Laden, ia ternyata satu kesalahan. Bagi orang awam Amerika, adakah mereka bebas daripada "pembunuhan" dan "kesalahan" apabila wang duit cukai mereka membantu Israel membeli kereta-kereta kebal untuk meranap kediaman-kediaman Palestin? Tidak susah bagi bin Laden. Seperti yang diberitahunya kepada CNN pada tahun 1997, "Kerajaan Amerika telah melakukan tindakan-tindakan yang amat tidak adil, teruk dan bersifat jenayah, melalui sokongan menerusnya terhadap pendudukan Israel di bumi Palestin. Kerana tunduk dengan orang Yahudi, keangkuhan Amerika Syarikat telah menyebabkannya menduduki Arab Saudi, tempat paling suci bagi orang Islam. Kerana tindakan ganas dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Amerika, kami mengisytiharkan jihad terhadap Amerika Syarikat."30

Kita mungkin bersetuju bahawa Osama bin Laden seorang yang tidak mempunyai moral yang tinggi. Tetapi mungkinkah gerakannya pun disangga kitab suci Quran? Aku mahukan kejujuran di sini.

Apa kata kalian? Aku sepatutnya memahami konteks petikan-petikan Quran yang memperlihatkannya sebagai menganjur keganasan? Biar aku ulang lagi: Aku memahami benar akan hujah ini dan aku rasa kita cuba mengelak daripada persoalan pokok. Aku berpendapat bahawa kita dapat menerima seruan-seruan ganas yang terdapat di dalam Quran ini oleh kerana kita yakin Quran itu sempurna.

Pertimbangkan satu hujah terkenal yang mempertahan Islam "autentik" sebagai agama yang mencintai kedamaian.31 Menurut hujah ini, oleh kerana Tuhan menurunkan wahyu pada saat-saat baik mahupun genting, ayat-ayat Quran yang tidak baik tersebut hanyalah cerminan masa yang dilalui oleh baginda Rasulullah. Kerana persekitaran di peringkat awal kenabian Rasulullah, maka ayat-ayat Quran diturunkan pada masa ini menekankan kasih sayang dan rahmat Tuhan.

Tetapi tidak lama kemudian masyarakat perniagaan Makkah semakin terancam – dan mula mengancam. Nabi Muhammad dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah untuk melindungi diri-sendiri. Pada asasnya itulah ketikanya, utusan kasih-sayang dan rahmat Quran bertukar kepada utusan yang bersifat retribusi (pembalasan). Di Madinah sesetengah penduduknya mengalu-alukan kedatangan umat Islam dan bakinya tidak. Antara mereka yang tidak ialah suku-suku Yahudi terkemuka di Madinah, yang bersepakat dengan golongan musyrikin Makkah untuk membunuh Muhammad dan menghapuskan golongan mualaf Islam. Mereka gagal kerana Tuhan telah memerintahkan Muhammad untuk menyerang secara pre-emtif. Menurut hujah ini, di sinilah puncanya vitriol* yang terdapat dalam Quran. Meskipun demikian, tambah hujah ini, retribusi bukanlah semangat awal kaum Muslim. Ia terpaksa dilakukan demi pemeliharaan-diri, dan hanya untuk tempoh sementara sahaja. Utusan Islam yang lebih tua, "autentik" adalah mesej yang dilancarkan dengan agama Nabi Muhammad. Ia adalah mesej keadilan, kesetaraan, perpaduan – keamanan/ kedamaian.

Bertapa leganya. Walaupun aku ingin mempercayai pernyataan ini, semakin lama aku membaca, semakin ia tidak masuk akal. Sebagai permulaan, tidak pula jelas ayat mana yang turun dahulu kepada Nabi Muhammad.32 Quran disusun berdasarkan panjang surah – dari yang lebih panjang ke yang lebih pendek – dan tidak mengikut urutan kronologi wahyu. Mustahil bagi kita membaca Quran autentik. Kita harus mengaku bahawa Quran memainkan peranan dalam konflik di merata tempat. Belas kasihan dan hasad dengki dan dendam muncul sebelah-menyebelah. Lihatlah apa yang dikatakannya tentang wanita. Baris-baris yang penuh dengan kasih sayang dan baris-baris yang penuh dengan kedengkian dan kebencian tidak jauh di antara satu sama lain. Begitu juga dengan kepelbagaian agama. Tidak wujud satu teras di dalam teks yang kononnya sempurna, tidak boleh dipertikaikan dan lurus ini. Kesempurnaan Quran adalah diragukan.

Oh Tuhan. Sudahkan aku melepasi batasan? Perbuatan melepasi batasan aku tidaklah seberapa berbanding dengan pengganas-pengganas Al-Qaeda. Tidak seperti aku, mereka bermatlamat untuk membunuh. Jika kita ikhlas di dalam memerangi despostime jelek yang mereka wakili, kita tidak boleh takut untuk menyoal: Apa jadi jika Quran itu tidak sempurna? Apakah ia bukan kitab yang diwahyukan sepenuhnya oleh Tuhan? Apakah ia dipenuhi dengan keserongan manusia?

Mari kita pikul tanggungjawab buat sementara waktu. Mohammed Atta, ketua kamikaze 11 September, meninggalkan sebuah nota yang berbunyi,"Tidak memadai bagi kami [ayat-ayat Quran] itu adalah kata-kata Pencipta Dunia dan segala alam." Bukan sekali tetapi tiga kali, Atta merujuk kepada "segala yang telah dijanjikan Tuhan untuk para syahid." Terutama sekali,"Ketahuilah taman-taman di firdaus menunggu kamu dengan segala kecantikan, dan perempuan-perempuan firdaus menunggu, memanggil, "Marilah, sahabat Tuhan."33

Izinkan aku terjemah bahasa tanyangan gambar-B di sini: Atta dan rakan-rakannya berharap untuk menikmati perawan-perawan di syurga. Bukan mereka sahaja tetamu di syurga. Sebulan sebelum 11 September, seorang perekrut gerakan resistan Palestin Hamas menggantungkan gambar tujuh puluh perawan untuk tatapan para calon.34 Ia umpama lesen abadi untuk berejakulasi sebagai balasan meletupkan diri dan dipercayai Quran menjanjikan balasan yang sedemikian.35

Tetapi kita mempunyai sebab untuk mempercayai menolak pendapat ini. Ini berpunca daripada kesalahan yang dilakukan manusia. Berdasarkan penyelidikan terkini, balasan untuk para syahid bukanlah perawan tetapi kismis! Perkataan yang dibaca sebagai – hur – yang sering dibaca sebagai "perawan bermata gelap" mungkin lebih tepat difahami sebagai "kismis putih." (Jangan ketawa. Kismis ialah komoditi yang mahal pada kurun ketujuh di semenanjung Tanah Arab. Kismis dan bukannya perawan? Tolonglah. Macam mana Quran boleh salah?

Sejarawan yang aku rujuk sini ialah Christoph Luxemberg, seorang pakar bahasa-bahasa Timur Tengah. Dia mengaitkan deskripsi Quran mengenai syurga dengan sebuah karya Kristian yang ditulis tiga kurun sebelum Islam di dalam bahasa Aramaik, bahasa yang mungkin dituturkan oleh Nabi Isa.36 Sekiranya Quran mengambil daripada tradisi terdahulu sejajar dengan dakwaannya bahawa ia adalah cerminan wahyu terdahulu – maka terdapatlah kemungkinan yang bahasa Aramaik ini diterjemahakan dengan tangan ke dalam bahasa Arab. Atau disalah-terjemah seperti dalam kes hur ini dan siapa tahu berapa banyak perkataan lagi.

Apa kata seluruh frasa disalah-fahami? Sebagai seorang saudagar yang buta huruf ( ummi), Nabi Muhammad bergantung kepada penyalin-penyalin kitab untuk merakamkan apa yang baginda dengar daripada Tuhan. Kadangkala, Nabi sendiri mempunyai masalah memahami apa yang didengarinya.37 Begitulah satu set "ayat-ayat syaitan"* – petikan yang memuja berhala – dilaporkan terlepas dan terakam sebagai entri-entri autentik. Ayat-ayat ini kemudiannya digugurkan, dan Syaitan dikatakan bertanggungjawab terhadap perkara ini. Fakta yang mengesahkan ahli falsafah Islam sepanjang zaman sering menceritakan kisah ini menunjukkan kesempurnaan Quran sebenarnya diragui.38 Kita harus mengembalikan keraguan ini.

Kita renung sejenak dan fikirkan tentang Mohamed Atta. Jika dia tahu akan keraguan makna sesetengah istilah, mungkin dia akan menimbang semula keputusannya untuk melakukan apa yang dilakukannya. Bila difikirkan, balasan yang diterimanya tidaklah setimpal dengan usahanya. Kebarangkalian ini perlu diambil berat.

Tindakan mempersoal kandungan Quran itu adalah cebisan teka-teki reformasi yang paling penting kerana ia memisahkan kita daripada yang lain-lain.

Dalam tempoh beberapa bulan selepas 11 September, aku sering terganggu oleh soalan ini: Sekiranya Quran memberi ruang kepada kita untuk berfikir untuk diri sendiri, kenapa Islam masih terkongkong oleh kesempitan? Kenapa tidak lebih ramai memilih keterbukaan. Aku harus mencari inkubator prejudis-prejudis Muslim Pavlov.

Aku harus mengupas lapisan demi lapisan pembohongan terhadap diri sendiri.

NOTA SUMBER DAN NOTA PENTERJEMAH
(Source & Translator’s Notes)

BAB 2: Tujuh Puluh Perawan? (Chapter 2 Notes)

* "pembunuhan kehormatan" ini diterjemah daripada frasa "honour killing". Meskipun ianya jarang kedengaran berlaku di kalangan umat Islam Asia Tenggara seperti di Indonesia, Malaysia, Brunei atau Thailand; ia adalah satu amalan yang agak berleluasa secara relatif di Asia Selatan seperti Pakistan. Wanita atau perempuan dibunuh oleh ahli keluarga sendiri sekiranya disyaki telah menyebabkan jatuhnya kehormatan atau maruah keluarga. Ianya juga pernah dilaporkan berlaku di negara-negara Barat yang mempunyai komuniti Islam dari Asia Selatan atau Timur-tengah.

1 "Di Pakistan, dua orang perempuan secara purata maut akibat 'pembunuhan kehormatan' sering kali dengan lafaz nama Allah oleh para pembunuh." Sumber: Dr. Riffat Hassan memtik Amnesty International, dalam Neva Welton dan Linda Wolf, eds., Global Uprising: Confronting the Tyrannies of the 21st Century – Stories from a New Generation of Activists (Gabriola Island, British Columbia: New Society Publishers, 2001), ms. 214.

2 " Di Mali dan Mauritania, kanak-kanak lelaki diperdaya untuk menjadi hamba abdi oleh pengecong-pengecong Muslim." Sumber: Amnesty International, Human Rights Watch, Freedom Houses dan rencana rencana khusus, termasuk "Is Youssouf Male a Slave?" oleh Michael Finkel, The New York Times Magazine, 18 November, 2001.

3"Di Sudan pula, perhambaan berlaku di tangan pihak militia-militia Islam." Sumber: Charles Jacobs, " Why Israel and not Sudan, is singled out," Boston Globe, 5 Oktober, 2002.

* religious minorities.

4 " Di Bangladesh, artis-artis yang menyokong hak-hak pengikut agama minoriti dilokap dan dibuang negeri." Sumber: Ruth Baldwin, "The 'Talibanization' of Bangladesh," The Nation (online version, posted May 18, 2002). Lawatilah laman web www.thenation.com.

5 "Sekumpulan lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki mula merejam batu-batuan sebesar genggaman ke arah kepala perempuan-perempuan ini." Untuk melihat bukti yang menyayat hati ini, klik sini.

* London’s Islamic Cultural Centre.

6 "Walaupun Islam solah-olah tidak menerima homoseksualiti, kata dia, 'segala-galanya berkemungkinan' dengan Tuhan Yang Maha Agung." Sumber: Charles le Gai Eaton, "QueerTelevision," Citytv, 8 April, 2001.

* ‘ reformasi’ diterjemah daripada perkataan ‘ reformation’ dalam teks asal. ‘ Reformasi’ dalam Bahasa Melayu juga merangkumi perkataan ‘reform’ dalam teks asal.

* Injil merujuk secara khusus kepada ‘ Gospel’ atau ‘ Evangel (berasal daripada istilah Yunani/ Greek)’- empat kitab yang terdapat dalam Perjanjian Baru (New Testament) Kristian, yakni empat Injil ataupun Gospel (Evangel) iaitu Injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas dan Injil Yuhana atau Injil Yahya, dan Taurat merujuk secara khusus kepada Torah. Torah ialah kumpulan 5-kitab yang dikatakan diwahyukan kepada Nabi Musa dan kadangkala dikenali sebagai Pentateuch dan kategori kitab-kitab ini terdapat di dalam Perjanjian Lama ( Old Testament) Kristian atau dalam Kitab Tanakh Yahudi. Penterjemah sedar bahawa pada hari ini, berlaku kekeliruan antara istilah Bible dan Injil. Ada yang menganggap Bible itu itu Injil dan sebaliknya. Bible adalah kumpulan kitab-kitab yang terdapat dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dan nama yang lebih tepat untuk Bible dalam Bahasa Melayu ialah Alkitab sepertimana penggunaannya di Indonesia dan Singapura.

* Apabila istilah ‘ iqra’ dalam Bahasa Arab dalam Quran diterjemah kepada Bahasa Melayu, lazimnya ia diterjemahkan sebagai ‘ Bacalah’. Terjemahan-terjemahan Inggeris pula menggunakan ‘ Recite’ yang hampir pengertiannya dengan perkataan ‘ Lafaz’ atau ‘ Read’ yang hampir pengertiannya dengan ‘ Baca’. Penterjemah berpendapat perkataan ‘ Baca’ pula mempunyai asal-usul daripada perkataan ‘ Uvaca’ dari Bahasa Sanskrit yang membawa pengertian ‘ Speak’ atau ‘ berkata’. Di kalangan Melayu Cape Town Afrika Selatan ( Cape Town Malays of South Africa), perkataan ‘ batcha’ masih digunakan apabila merujuk kepada perbuatan melafaz atau membaca ayat-ayat Quran atau doa-doa Islam untuk mengelak/ menolak bala.

* diterjemah daripada perkataan ‘ mainstream’ dalam teks asal. ‘ Aliran utama’ ialah takrif yang ditemui penterjemah dalam Kamus Inggeris-Melayu.

7 " Berbahasa Inggeris ala-London, dia memberitahu Feiler yang 'kalian harus mengikut nabi terakhir' yang diutus Tuhan." Sumber: Bruce Feiler, Abraham: A Journey into the Heart of Three Faiths (New York: William Morrow, 2002), ms. 180.

* perkataan 'apokaliptik' dibentuk daripada perkataan 'apocalyptic' yang terdapat dalam teks asal. Ia terbit daripada perkataan 'Apocalypse' yang sering dirujuk kepada 'Book of Revelations' atau 'Buku/ Kitab Wahyu' (ada yang berpendapat ia harus diterjemahkan sebagai Buku/ Kitab Ilham – tetapi penterjemah berpendapat perkataan 'wahyu' lebih baik untuk menyampaikan maksud 'revelation' kerana perkataan 'ilham' dirasakan lebih hampir dengan perkataan 'inspiration'. Buku/ Kitab Wahyu ialah kitab yang terakhir dalam Perjanjian Baru (New Testament) Kristian dan mengandungi pelbagai gambaran tentang hari Kiamat dan malapetaka besar yang akan menimpa manusia tatkala Kiamat semakin hampir. Golongan Kristian apokaliptik selalu menitik-beratkan ajaran-ajaran agama dan spiritual untuk menyediakan penganut-penganutnya menghadapi hari Kiamat.

8 " Imam kalian mewakili kebanyakan umat Islam, setidak-tidaknya di sini." Bruce Feiler memetik wartawan tempatan, Ibid., ms. 181.

9 " Kedua-duanya mempercayai kebenaran dan kesempurnaan Quran-ul Karim.Kedua-dua mengakui Muhammad sebagai rasul Tuhan yang terakhir dan berusaha meniru kata-kata dan perlakuan baginda." Sumber: Laporan: Ogos – Disember 2002," Academy for Learning Islam, Richmond, British Columbia. Disediakan untuk Pameran Spirit of Islam di Muzium Antropologi, University of British Columbia, Vancouver.

* 'avant-garde' menyampaikan maksud 'ke hadapan, terkini, mutakhir', walaupun ianya jarang digunakan dalam bahasa Melayu tetapi frasa ini sudah diterima sebagai sebuah frasa Bahasa Melayu kontemporari tanpa sebarang pengubahsuaian ejaan. Bagi sesetengan orang pula, ini adalah contoh 'code-mixing' yang banyak diperlihatkan dalam penggunaan Bahasa Melayu kontemporari.

10 "Tuhanmu yang telah menciptakan kami dari diri yang satu, dan menciptakan pasangannya darinya." Sumber: Quran 4:1. Lihat juga 4:57, yang menyatakan,"Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak akan Kami masukkan ke dalam taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Di sana mereka mempunyai pasangan yang suci, dan Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman." Perhatikan 'pasangan-pasangan' yang dirujuk di sini tidak pula dinyatakan apa jantinanya lantas menunjukkan keneutralan-jantina di dalam ayat-ayat tersebut.

11" Siapa yang satu itu dan pasangan siapa? Itu semua tidak relevan." Nota: Jadi, apabila pemprotes-pemprotes anti- gay melaung-laungkan bahawa, "Tuhan mencipta Adam dan Hawa, dan bukannya Adam dan Steve," mari kita beringat bahawa Quran mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini...
* Dikenali secara popular sebagai Kitab Bible.

12"Hormatilah ibu-ibumu yang telah melahirkanmu. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu."

13" Perempuan-perempuan yang kamu khuatirkan akan nusyuz, hendaklah kamu beri teguran, tinggalkanlah mereka di tempat tidur, dan pukullah mereka." Sumber: Quran, 4:34.

14" Salah satu klausanya mengakui persamaan taraf dan martabat di antara lelaki dan perempuan. Tetapi klausa seterusnya menamakan lelaki sebagai pencari nafkah." Sumber: Artikel 6(a) dan 6(b) Deklarasi Kaherah. Lihat juga Ann Elizabeth Mayer, Islam and Human Rights: Tradition and Politics (Boulder: Westview Press, 1999).

15""Maka datangilah ladangmu itu bila sahaja dengan cara yang kamu suka. Berbuat baiklah dan takutkan Tuhan." Sumber: Quran, 2.223.

16" Dia meyakinkan aku yang ayat tersebut boleh digunakan sebagai dalil naqli untuk mempertahankan amalan percumbuan." Sumber: Diskusi di hadapan kamera untuk "Hot Type," CBC Television, dirakam pada 5 Mac, 2003.

17"serangan ke atas Khartoum menghidup semula perdagangan hamba kulit hitam, yang hampir dihentikan sepenuhnya oleh pihak British satu kurun yang lalu...Setelah kaum lelaki mereka disembelih, perempuan dewasa dan kanak-kanak dan kanak-kanak lelaki akan diperkosa dan dirogol – atau leher mereka dikelar sekiranya melawan. Yang masih hidup akan diarak ke arah utara dan diedar-edarkan kepada tuan-tuan Arab, perempuan dewasa menjadi gundik, kanak-kanak perempuan menjadi pembantu rumah, yang kanak-kanak lelaki pula menjadi pengembala kambing."

18"Dan jika hamba sahaya yang kamu miliki, menginginkan perjanjian (kebebasan), hendaklah kamu buat perjanjian kepada mereka..." Sumber: Quran, 24:33. satu lagi rujukan yang menjustifikasi amalan perhambaan terdapat di 4:25.

19" Ia menyanjung Nabi Isa sebagai "al-Masih" lebih daripada sekali." Sumber: Quran, 3:35 dan 4:157.

20"Quran mengingatkan kita tentang "ketinggian darjat" bangsa Yahudi." Sumber: Quran, 2:47 dan 2:122.

21"Dengan kata-kata yang begitu mesra dan hangat terhadap moyang rohaniah kita, maka tidak hairanlah Quran menyeru kaum Yahudi dan Kristian agar bertenang, dan "tiada apa yang harus mereka takuti dan kesali" selagi mereka taat dengan kitab-kitab suci mereka." Sumber: Quran, 2:62 dan 5:69.

22" Pada masa yang sama, Quran juga menyebut secara terang-terangan bahawa Islam itu satu-satunya agama yang benar." Sumber, 2:47 dan 2:122.

* Semitik merangkumi kebudayaan-kebudayaan yang menutur bahasa-bahasa dari lingkungan keluarga bahasa Semitik yang mendiami Timur Tengah. Tidak semua yang mendiami Timur Tengah itu Semitik tetapi bangsa-bangsa Arab dan Yahudi tergolong dalam bangsa-bangsa Semitik. Tetapi pada kelazimannya, istilah anti-Semitik atau anti-Semitisme merujuk kepada sentimen anti-Yahudi.

23 “Menurut Quran, agama-agama yang berlainan ini harus wujud agar manusia berinsentif untuk bersaing untuk ‘melakukan pekerjaan yang baik.’" Sumber: Quran, 5:48.

24"Quran tidak menggalakkan kita umat Islam daripada bersahabat dengan Yahudi dan Kristian "melainkan kita juga masuk golongan mereka.’…Ia juga menyebut tentang memukul, membunuh dan mengenakan cukai jizya terhadap orang bukan Islam sebagai ufti kepada pemerintah-pemerintah Muslim." Sumber: Quran, 5:51, 61:4, 61:7, 47:4, 39:71-73. 9:29.
Terdapat satu petikan yang menggerunkan di 4:56, yang berbunyi,"Sesungguhnya, orang-orang yang tidak beriman dengan wahyu-wahyu Kami akan Kami masukkan ke neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami akan menggantikannya dengan kulit baru supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana."

25" Beberapa minggu sebelum 11 September, aku memasuki satu panel Muslim di TV nasional to 'membincangkan imej-imej Dunia Islam.'" Sumber: "The Chat Room," CTV, disiar langsung pada 19 Jun, 2001.

* diterjemahkan verbatim, tanpa pengubahsuaian. satu contoh code-mixing yang dirasakan sesuai dengan konteks.

26"’Tidak ada paksaan dalam agama,’ nyata Quran." Sumber: Quran, 2:256.

* diterjemahkan daripada frasa 'unthinking Islam' yang terdapat dalam teks asal.

27" Dengan muka-muka murung, kita mengatakan yang agama kita sudah "dirampas." Nota: Metafora ini begitu berkredibiliti yang ianya masih digunakan setahun selepas 11 September 2001. Lihat, sebagai contoh, Sheema Khan, "Bahasa Islam sudah dirampas," Globe and Mail, 17 Disember, 2002.

* Dikekalkan verbatim untuk menyampaikan maksud penulis/ pengarang dengan lebih jitu.
28" Memetik seorang ilmuwan, "[Allah] berfirman dengan jelas bahawa membunuh nyawa yang tidak berdosa umpama membunuh seluruh umat manusia."Sumber: Muqtedar Khan, " A Memo to American Muslims," dimuat turun dari www.islamfortoday.com.

Aku minta maaf memetik Khan sebagai contoh – maaf, sebab karya dia biasanya jujur dan bernas. Contoh Khan menunjukkan orang Islam yang terpuji akhlaknya pun bermasalah untuk menerima hakikat yang Quran menyokong keganasan. Ia sebenarnya berbunyi begini: "Kami perintahkan Bani Israel barangsiapa yang membunuh seorang manusia, kecuali sebagai hukuman terhadap jenayah bunuh dan lain-lain kesalahan, samalah seperti membunuh seluruh umat manusia." Malangnya, klausa yang bermula dengan "kecuali" boleh digunakan to melancarkan jihad mereka.

29"Kami perintahkan Bani Israel barangsiapa yang membunuh seorang manusia, kecuali sebagai hukuman terhadap jenayah bunuh dan lain-lain kesalahan, samalah seperti membunuh seluruh umat manusia." Sumber:Quran, 5:32.

30"'Kerajaan Amerika telah melakukan tindakan-tindakan yang amat tidak adil... kami mengisytiharkan jihad terhadap Amerika Syarikat.'"Sumber: "People in the News: Osama bin Laden," CNN, ditayangkan beberapa kali semenjak 11 September, 2001.

31" Pertimbangkan satu hujah terkenal yang mempertahan Islam "autentik" sebagai agama yang mencintai kedamaian." Nota: Hujah yang aku rujuk di sini ialah hujah yang dibuat oleh Abdullahi An-Naim, "The Islamic Counter-Reformation," New Perspectives Quarterly, Musim Sejuk 2002. Muat turun. www.digitalnpq.org.

* vitriol adalah kekejaman figuratif.

32" Sebagai permulaan, tidak pula jelas ayat mana yang turun dahulu." Sumber: Ramai ilmuwan menyokong pendapat ini, termasuk Mahmoud Ayoub dari Temple University. Lihat bab sumbanganya, "The Islamic Tradition," dalam Willard G. Oxtoby, ed., World Religions: Western Traditions (Don Mills, Ontario: Oxford University Press, 2002).
Professor Ayoub menulis, "Penyusun asal Surah-surah Quran mengikut panjang dan kaedah penyusunan menyukarkan proses penentuan kronologi surahh-surah ini." (ms. 357).

33 "'meninggalkan sebuah nota yang berbunyi,"Tidak memadai bagi kami [ayat-ayat Quran] itu adalah kata-kata Pencipta Dunia dan segala alam.." Bukan sekali tetapi tiga kali, Atta merujuk kepada "segala yang telah dijjanji Tuhan untuk para shahid." Terutama sekali,"Ketahuilah taman-taman di firdaus menunggu kamu dengan segala kecantikan, dan perempuan-perempuan firdaus menunggu, memmanggil, "Marilah, sahabat Tuhan.'" Sumber: Nota Atta, yang dikandung dalam Barry Rubin dan Judith Kolp Rubin, Anti American Terrorism: A Documentary Reader (Oxford, New York: Oxford University Press, 2002), ms.233-238.

34" Sebulan sebelum 11 September, seorang perekrut gerakan resistan Palestin Hamas menggantungkan gambar tujuh puluh perawan untuk tatapan calon-calon." Sumber: Ibn Warraq, "Perawan? Perawan Apa?" The Guardian, 12 September, 2002.

35" Ia umpama lesen abadi untuk berejakulasi sebagai balasan meletupkan diri dan sudah dipercayai yang Quran memberi balasan yang sedemikian." Nota: Pegawai perisik di Toronto, yang berkerja debgan pakar anti-pengganas dari seluruh dunia, memberitahu aku pengebom-pengebom berani mati sering memakai lebih daripada sepasang seluar, atau menyendatkan surat khabar di celah kangkang untuk melindungi kemaluan masing-masing daripada kesan detonasi.

36" Dia mengaitkan deskripsi Quran mengenai syurgar dengan sebuah karya Kristian yang ditulis tiga kurun sebelum Islam di dalam bahasa Aramaik, bahasa yang mungkin dituturkan oleh Nabi Isa." Sumber dan nota: Semasa buku ini ditulis, The Syro-Aramaic Reading of the Koran karangan Christoph Luxemberg hanya didapati dalam Bahasa Jerman, jadi aku bergantung kepada beberapa profesor Bahasa Jerman. Say juga merujuk reviu dan artikel, termasuk, "Radical New Views of Islam dan Origins of the Koran," karangan Alexander Stille, New York Times, 2 Mac, 2002.
Di samping itu, www.badattitudes.com memperkenalkan cerita kismis putih/ perawan di laman webnya dengan tajuk, "Berita baik untuk para shahid vegan!" Terasa hendak tergelak pula apabila memikirkan perkara ini.
37"' Kadangkala, Nabi sendiri mempunyai masalah memahami apa yang didengarinya.'" Sumber: Lihat, sebagai contoh, deskripsi Karen Armstrong dalam A History of God, ms. 139 dan 148.
*Diterjemah daripada ‘ satanic verses’. Penterjemah juga menyedari buku Salman Rushdie yang berjudul “The Satanic Verses” diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai “Surah Syaitan” oleh siaran berita dan akhbar di Malaysia pada sekitar 1989-89 apabila buku ini diharamkan di banyak negara Islam. ‘Surah’ lebih tepat diterjemahkan sebagai ‘Chapter’ dan ‘Verses’ lebih tepat diterjemahkan sebagai ‘Ayat-ayat’ atau dalam penggunaan Bahasa Indonesia ‘Versi-versi’.

38" Fakta yang mengesahlan ahli falsafah Islam sepanjang zaman sering menceritakan kisah ini menunjukkan kesempurnaan Quran sebenarnya diragui" Nota: Para ahli falsafah pun tidak bersetuju dengan bilangan perawan yang dijanjikan. Kalau ilmu hisab yang jelas pun dipertikai lagi – apatah lagi makna istilah-istilah – tertentu yang dianggap mutlak?