HARAPAN UNTUK ISLAM HARI INI
Bab 1 - Bagaimana Aku Menjadi Seorang Refusenik Muslim
SEPERTI BERJUTA-JUTA INSAN MUSLIM semenjak empat puluh tahun yang lalu, keluarga aku telah berhijrah ke Barat. Kami tiba di Richmond, sebuah daerah kota* kelas pertengahan di Vancouver, British Columbia, pada tahun 1972. Usia aku empat tahun pada masa itu. Antara 1971 dan 1973, ribuan Muslimin keturunan Asia Selatan meninggalkan Uganda selepas diktator tentera, Jeneral Idi Amin Dada, mengisytiharkan bahawa Afrika adalah untuk mereka yang berkulit hitam sahaja. Dia memberi beberapa minggu sahaja untuk kami yang berkulit sawo matang untuk meninggalkan negaranya atau menghadap maut. Melalui pihak British, kaum Muslim telah lama mendiami bumi Afrika Timur dan pada peringkat awalnya, terlibat dalam pembinaan landasan-landasan keretapi di kawasan-kawasan jajahan Afrika. Dalam masa beberapa generasi sahaja, ramai di kalangan kaum Muslim menjadi saudagar-saudagar yang kaya-raya. Ayah dan adik-beradiknya mengusahakan sebuah perniagaan wakil jualan Mercedes Benz berdekatan dengan Kampala ekoran daripada peluang memanjat tangga sosial yang telah diberikan pihak British kepada kami, satu peluang yang jarang pula, kami berikan kepada kaum kulit hitam yang bekerja untuk kami.
Pada amnya, kaum Muslim di Afrika Timur melayan kaum kulit hitam seperti hamba abdi. Aku masih ingat ketika ayah memukul Tomasi, pembantu rumah kami, dengan begitu kuat sehingga lebam-lebam pukulannya kelihatan pada tangan dan kakinya yang hitam legam. Walaupun aku, dua adik-beradik perempuan aku, dan ibu menyayangi Tomasi, kamu juga akan dipukul sekiranya ayah mendapati kami merawat luka-luka dan kecederaannya. Aku tahu bahawa perkara ini tidak terhad kepada keluarga kami, dan ianya berleluasa di kalangan keluarga-keluarga Muslim lain, dan amalan perhambaan ini berterusan setelah keluarga kami meninggalkan Uganda. Itulah sebabnya, semasa remaja, aku pernah menolak peluang untuk melawat saudara-mara di Afrika Timur. "Kalau aku pergi dengan ibu," kata aku memberi amaran, "ibu tahu benar bahawa aku akan menyoal kenapa para ibu dan bapa saudara kita yang gemuk-gedempol memperhambakan pembantu-pembantu rumah mereka." Sedangkan ibu pula hanya berhasrat mengucapkan salam perpisahan kepada saudara-mara yang semakin lanjut usia, dan sama sekali tidak berminat dalam kempen hak asasi manusia aku semasa melakukan lawatan ini.Untuk mengelak daripada mengaibkan dan memalukan ibu, aku duduk di rumah sahaja.
Semasa ketiadaan ibu, aku mula berfikir dengan lebih mendalam tentang pengertian "tanah air". Aku memutuskan bahawa tanah air ialah tempat letaknya martabat aku, tidak semestinya tempat asalnya moyangku. Pada masa sama, aku mula menyedari kenapa demam pasca-kolonial pan-Afrikanisme – "Afrika untuk kaum kulit hitam!" – tersebar ke setiap pelosok benua kelahiran aku. Ramai di antara kaum Muslim pula menyulitkan keadaan bangsa-bangsa berkulit lebih gelap daripada mereka menikmati martabat dan penghormatan. Kami mengeksploitasi kaum peribumi Afrika tanpa sebarang pertimbangan. Dan jangan beritahu aku yang sikap ini dipelajari dari pihak British kerana satu lagi soalan boleh ditanya di sini: Kenapa kami tidak pelajari dari pihak British untuk memberi ruang untuk maju kepada para usahawan kulit hitam seperti yang dilakukan oleh British kepada kaum kami?
Aku enggan meminta maaf kerana seolah-olah mengandaikan kalian pun memiliki Tomasi. Kebanyakan daripada kalian, aku yakin, juga menentang perhambaan. Tetapi bukan Islam yang memupuk kerpercayaan dalam diri aku ini terhadap maruah setiap insan. Ianya dipupuk oleh persekitaran demokratis, tempat diri aku dan keluarga menetap: Richmond, di mana seorang kanak-kanak perempuan Muslim pun mampu bergiat. Aku akan perjelaskan dengan lebih lanjut.
Dua tahun selepas keluarga kami menyesuaikan diri, ayah aku terjumpa perkhidmatan menjaga bayi dan kanak-kanak percuma di Gereja Baptis Rose of Sharon.* (Perkataan " percuma" boleh menyebabkan seseorang pendatang itu lupa seketika akan pertalian keagamaan demi tawaran hebat ini.) Setiap minggu, apabila ibu meninggalkan rumah untuk menjual produk-produk Avon dari pintu ke pintu, ayah aku yang tidak beberapa menggemari kanak-kanak meninggalkan anak-anaknya di gereja ini. Di situ, seorang perempuan Asia Selatan sabar melayani kerenah kami sama seperti dia melayani anak lelakinya. Dia menggalakkan aku mengajukan pertanyaan dan menyakinkan aku bahawa setiap pertanyaan aku wajar ditanya. Sudah tentunya, soalan-soalan yang aku ajukan pada usia tujuh tahun adalah soalan-soalan yang mudah. Yesus* (Nabi Isa) dari mana? Bila Yesus hidup? Apakah pekerjaannya? Siapa yang dinikahinya? Pertanyaan-pertanyaan sedemikian tidak menimbulkan sebarang perasaan serba-salah terhadap mana-mana pihak, tetapi apa yang ingin aku tekankan di sini ialah tindakan bertanya aku – semakin banyak pertanyaan – bertambahlah senyuman daripada mereka yang mendengar.
Mungkin inilah yang mendorong aku, semasa berusia lapan tahun, untuk memenangi anugerah Most Promising Christian of the Year.* Hadiah aku: Edisi 101 Bible Stories yang diilustrasi dengan gambar-gambar yang menarik. Apabila aku memandang kembali, aku bersyukur bahawa aku membesar di sebuah dunia di mana Quran tidak semestinya menjadi buku pertama atau buku tunggal seseorang, seolah-olah ianya satu-satunya sumber kekayaan hidup. Selain itu, 101 Bible Stories menarik perhatian aku dengan gambar-gambarnya. Terfikir juga aku entah macam mana pula agaknya rupa 101 Quran Stories? Masa itu, aku belum lagi melihat sesuatu yang seumpama itu. Hari ini, tiada ketandusan buku-buku kanak-kanak tentang Islam, termasuk A is for Allah, oleh Yusuf Islam (yang dahulunya dikenali dengan nama Cat Stevens) . Masyarakat bebas membenarkan proses penciptaan semula diri dan evolusi kepercayaan dan keagamaan.
Tidak lama selepas aku dianugerahkan gelaran Most Promising Christian, ayah mengeluarkan aku dari gereja. Sebuah madrasah, atau sekolah agama Islam dibina tidak lama kemudian. Ulat buku ini tidak sabar-sabar menanti. Bedasarkan pengalaman aku di sunday school,* aku membayangkan madrasah ini pun akan menyeronokkan juga, begitulah sangkaan aku.
Sementara itu, dunia baru aku membesar bersama-sama aku. Sebuah pusat membeli-belah, Lansdowne Centre yang kemudiannya menjadi tempat penting bagi pendidikan aku sebagai seorang Muslimah. Nama-nama pengasas-pengasas berbangsa Scot Richmond yang terpampang menghiasi papan-papan tanda di luar – Brighouse, McNair, Burnett, Steveston – tidak lama kemudian bercampur-baur dengan perkataan-perkataan dalam bahasa-bahasa Hindi, Punjabi, Urdu, Mandarin, Kantonis, Korea, dan Jepun. Bahasa-bahasa ini memenuhi ruang dalam Aberdeen Centre, yang dibina beberapa tahun kemudian dan dikatakan sebagai "plaza membeli-belah tertutup bertema-Asia terbesar di Amerika Utara."
Aku sudah lama menyedari sebelum itu bahawa Richmond adalah tempat untuk barang siapa yang mempunyai inisiatif. Semasa di
gred sepuluh*, aku bertanding untuk jawatan presiden pertubuhan pelajar di J. N. Burnett Junior Secondary School. Setahun sebelum itu, aku tewas di dalam bida untuk menjadi wakil class, undian penentu dilakukan oleh seorang bahalul yang tidak meinginkan seorang "Paki" mewakili kelasnya. Setahun kemudian, majoriti murid-murid di sekolah ini menjadikan Paki ini ketua yang dipilih secara sah. Di Richmond, perkauman tidak membendung cita-cita aku tidak lebih daripada ras itu mendefinisikan siapa diri aku.
Beberapa bulan selepas menjadi presiden pertubuhan pelajar, timbalan pengetua sekolah aku berjalan melalui loker dan berhenti dengan serta-merta apabila ternampak poster para revolusioner Iran yang aku lekatkan di dalamnya. Poster ini dikirim oleh bapa saudara aku di Perancis, dan menunjukkan wanita-wanita dalam pakaian
chador* hitam memecahkan akup-akup sebuah pesawat. Akup kirinya menunjukkan Tukul dan Sabit Soviet dan akup kanannya menunjukkan bintang-bintang dan jalur-jalur bendera Amerika Syarikat.
"Ini tidak sesuai," katanya memberi amaran. "Tanggalkannya."
Aku menunjuk ke arah loker bersebelahan, yang menampalkan bendera Amerika. "Kalau dia boleh meluahkan pendapatnya secara terbuka," tanya aku, "kenapa aku tidak boleh pula?"
"Kerana awak memperkecil-kecilkan nilai-nilai demokrasi kita. Dan sebagai presiden pelajar, awak sepatutnya lebih arif tentang perkara ini."
Aku mengaku bahawa aku tidak sedar bahawa rejim Ayatollah Khomeini adalah rejim totalitarian. Aku belum sempat membuat kajian pada masa itu. Terpengaruh dengan propaganda dan kemegahan hidup di dalam sebuah masyarakat bebas, aku hanya mahukan mengadvokasi kepelbagaian pendapat supaya Bendera Amerika tidak menenggelami perspektif-perspektif lain. Demikianlah hujah aku. "Aku memperkecilkan demokrasi? Bagaimana pula tuan boleh mengaku mendukung demokrasi dan pada masa yang sama memberitahu aku yang aku tidak boleh meluahkan pendapat diri, tetapi," menunjuk kepada loker yang dilitupi bendera itu, "orang lain pula boleh?"
Kami bertukar renungan. "Awak menunjukkan contoh yang tidak baik," kata naib-pengetua. Dia menegakkan dirinya dan terus beredar.
Kalian harus memujinya kerana membenarkan kepelbagaian pendapat di Burnett Junior High. Malah lebih mengagumkan lagi kerana dia sendiri ialah penganut Kristian Evangelical.* Dia tidak menyelubungi kepercayaan peribadinya, tetapi dia juga tidak memaksa nilai-nilai tersebut ke atas para pelajarnya – walaupun presiden pertubuhan pelajar nampaknya seorang penyokong teokrasi Khomeini, dan walaupun pelajar-pelajarnya melobi agar seluar pendek sekolah yang lebih pendek daripada yang dipersetujui dia. Selepas perdebatan hangat dengan kami dan beberapa kelengahan yang disengajakan, dia membenarkan seluar pendek yang lebih pendek itu, menghormati kehendak ramai. Dapatkah kita katakan yang sama untuk para Muslim yang menghadapi situasi sama seperti yang dihadapi dia? Sudah tentu, naib-pengetua aku ini terpaksa menggigit lidahnya di dalam sistem persekolahan awam, tetapi sistem ini hanya dapat terbit apabila terdapat persetujuan orang ramai dari pelbagai agama, latarbelakang, aspirasi dan kedudukan untuk bertarung dan bergelut bersama-sama. Berapakah negara Islam yang akan bertoleransi dengan pertarungan seumpamanya?
Ya Tuhan, aku menyayangi masyarakat ini. Aku menyayanginya kerana ia sebuah masyarakat yang belum berakhir, jawapan-jawapan terakhirnya belum diketahui – seandainya diketahui kemudian. Seperkara lagi yang menjadi kesukaan aku dalam dunia yang sentiasa berubah ini ialah sumbangan para individu diberi kepentingan utama.
Tetapi di rumah, kebengisan ayah bermakna keluarganya menuruti segala peraturan rumah yang ditetapkan sewenang-wenang olehnya. Jangan ketawa semasa makan malam. Apabila aku mencuri wang simpanan awak, diam. Apabila aku menendang awak, ingat yang ianya akan lebih kuat pada masa hadapan. Apabila aku memukul ibu, jangan panggil polis. Kalau polis datang, aku akan meyakinkan mereka supaya beredar, dan awak tahu yang mereka akan beredar jua. Sebaik sahaja mereka beredar, aku akan hiris telinga awak. Sekiranya awak mengugut untuk melapor kepada perkhidmatan sosial, aku akan potong telinga awak yang satu lagi.
Pernah sekali aku dikejar dengan sebilah pisau oleh ayah, aku sempat melarikan diri melalui jendela bilik tidur aku dan menghabiskan malam itu di atas bumbung rumah. Ibu tidak mengetahui situasi aku sebab dia bekerja syif malam di sebuah syarikat penerbangan. Kalau ibu ada pun, aku tidak pasti samada aku akan turun dari bumbung tersebut. Aku menyukai bumbung tersebut sama aku menyukai Gereja Baptis Rose of Sharon, dan Aberdeen Centre. Dari setiap tempat tinggi yang berada di bangunan tersebut, aku dapat melihat dunia yang penuh dengan segala kemungkinan. Aku merenung sejenak dan bertanya kepada diri ini samada aku dibenarkan mengimpikan pendidikan formal di dalam komuniti asal Muslim Afrika Timur aku? Dianugerahkan biasiswa-biasiswa? Bertanding di dalam pilihanraya-pilihanraya politik, memegang jawatan rasmi? Berdasarkan gambar-gambar hitam-putih yang menunjukkan aku, semasa berusia tiga tahun, bermain olok-olok sebagai seorang pengantin perempuan, tangan bertaup, mata memandang ke bawah, dan kaki terjuntai dari kerusi sofa, rasanya aku hanya akan berdepan dengan sistem hierarki keras jika keluarga kami terus kekal di Uganda.
Soalan yang lebih utama ialah, kenapa madrasah Richmond, yang didirikan oleh para pendatang yang berhijrah ke negara yang mengutamakan hak dan kebebasan ini, memilih autokrasi? Dari usia sembilan hingga empat belas, aku meluangkan setiap Sabtu di situ. Kelas-kelas pengajian agama berlangsung di tingkat atas masjid. Masjid tersebut lebih mirip sebuah rumah besar di daerah kota dan tidak memperlihatkan ciri-ciri senibina Timur Tengah yang nyata. Namun di dalamnya, kalian akan mendapati amalan Islam keras. Lelaki dan wanita memasuki masjid tersebut menggunakan pintu masuk berasingan dan dipisahkan oleh dinding yang memisahkan jemaah lelaki dan wanita. Terdapat sebuah pintu di dinding ini yang menghubungkan jemaah lelaki dan wanita. Pintu ini digunakan selepas selesai sembahyang, apabila kaum lelaki meminta lebih banyak makanan dari dapur komunal dengan mengedar pinggan mangkuk mereka, mengetuk-ngetuk dinding dengan kuat, dan tidak lama kemudian pinggan mangkuk yang sudah diisi makanan diedar kembali dari sebelah perempuan ke jemaah lelaki. Di masjid ini, kaum lelaki tidak perlu memandang kaum wanita dan kaum wanita pula tidak perlu dipandang. Kalau ini bukan memperkecil-kecilkan peranan wanita, apa lagi?
Di tingkat atas masjid ini terletaknya madrasah, dengan hiasan muram permaidani-permaidani perang-terbakar, lampu-lampu fluoresen, dan dinding pemisah mudah-alih yang memisahkan kanak-kanak perempuan dan lelaki. Dinding pemisah digunakan setiap kali ada kelas. Lebih teruk lagi apabila terdapat pemisahan otak dan roh. Dalam kelas-kelas Sabtu aku, aku belajar jika seseorang itu rohaniah maka dia tidak perlu berfikir. Jika seseorang itu berfikir, maka dia itu tidak spiritual. Persamaan mudah ini tidak serasi dengan semangat ingin-tahu berkobar-kobar dalam diri yang membesar di Richmond ini. Panggillah ia pertembungan tamadun peribadi.
Menerima hakikat bahawa terdapat dunia sekular dan dunia non-sekular, dan setiap daripada dunia ini berbeza bukanlah penyelesaiannya. Kalau benarlah hujah ini, sudah pasti Gereja Baptis Rose of Sharon tidak akan memperdulikan soalan-soalan aku. Malah di sini, semangat ingin-tahu aku diberi pujian. Di Burnett Junior High, sebuah sekolah sekular, soalan-soalan aku mengejutkan naib-pengetua aku tetapi tidak ada sesiapa pun menghalang pertanyaan aku. Di kedua-dua tempat tersebut, maruah dan martabat insan diutamakan. Tidak pula demikian ceritanya di madrasahku. Aku pergi madrasah ini memakai chador poliester putih dan meninggalkannya beberapa jam kemudian dengan rambut yang tampak rata berserta semangat yang kempis, umpama kondom di kepala yang melindungi daripada aktiviti-aktiviti intelektual yang "tidak selamat".
Sebelum aku meneruskan pendedahan tentang madrasah ini, aku ingin berlaku adil terhadap ustaz madrasah aku, yang digelar Encik Khaki. Dia ialah Muslim yang berjiwa ikhlas. Berbadan kurus kering dengan janggut yang digunting rapi (menunjukkan kebersihan) dan berkereta Honda Mini Compact (menandakan kesederhanaan) bersukarela memberi khidmatnya setiap hujung minggu (membuktikan kebajikan) mengajar anak-anak pendatang Muslim pendidikan agama yang mungkin akan terabai di dalam persekitaran masyarakat majmuk berakhlak rendah yang terdapat di negara ini. Ia bukannya tugas mudah, terutama sekali apabila madrasah ini menarik pelajar-pelajar dari semua spektrum usia: daripada yang hampir remaja dan berjerawat, yang suka bersembunyi di bilik air, remaja-remaja yang mula berkumis – dan itu baru yang perempuan sahaja. Aku hanya melawak ... lebih kurang begitulah.
Kebanyakan di antara kami melihat madrasah bukan sebagai tempat menuntut ilmu, tetapi lebih sebagai tempat untuk bertemu jodoh. Oleh kerana perempuan yang bermulut lancang dikatakan tidak akan bersuami, rakan-rakan aku jarang bertegang urat dengan Encik Khaki. Jadi, apa sebenarnya masalah aku? Tidakkah aku ingin menjadi seorang isteri pada suatu hari kelak? Masalah aku ialah ini: Tertarik dengan dunia pelbagai-lapisan di sebalik madrasah ini, aku mahu dididik dan bukannya terindoktrinasikan.
Masalah aku bermula dengan Know Your Islam, primer yang aku bawa dalam beg untuk ke madrasah setiap minggu. Selepas membacanya, aku ingin mengetahui lebih lanjut Islam "aku", Kenapa kanak-kanak perempuan harus melakukan perkara wajib seperti sembahyang lima kali sehari, pada usia lebih awal berbanding kanak-kanak lelaki? Kerana, Encik Khaki memberitahuku, kanak-kanak perempuan matang lebih awal. Mereka mencapai "usia wajib" pada sembilan tahun berbanding dengan tiga belas tahun bagi kanak-kanak lelaki.
"Tetapi kenapa tidak membalas kematangan awal perempuan dengan membolehkan mereka mengimamkan sembahyang?" tanya aku.
"Kanak-kanak perempuan tidak boleh mengimamkan sembahyang."
"Apa maksud ustaz?"
"Kanak-kanak perempuan dilarang."
"Kenapa tidak?"
"Itu perintah Allah."
"Apa sebabNya?
"Bacalah Quran."
Aku cuba, walaupun ia terasa kekok kerana aku tidak memahami Bahasa Arab. Aku melihat kalian pun turut mengganguk kepala. Kebanyakan Muslimin tidak mengerti maksud dan makna Quran apabila ianya dibaca dalam Bahasa Arab. Bukan pula disebabkan kita ini lembap. Sebenarnya, Bahasa Arab ialah antara bahasa yang paling indah iramanya di dunia ini, dan pelajaran mingguan yang kami terima di madrasah ini tidak pula mendedahkan kami kepada selok-belok Bahasa Arab secara lebih mendalam. Sebagai contoh, perkataan Haram, boleh merujuk kepada sesuatu yang terlarang atau sesuatu yang suci bergantung kepada cara kita menyebut "a" dalam perkataan ini. Menambah kerumitan bahasa pula ialah cabaran-cabaran hakikat kehidupan seharian. Dalam kes aku, seorang bapa ganas yang mengamalkan agama semata-mata untuk tontonan orang dan seorang ibu yang berusaha untuk menjadi seorang Muslimah solehah di samping memelihara rumahtangga sambil melakukan kerja syif. Kalian akan faham kenapa pengajian bahasa Arab tidak diberi keutamaan dalam keluarga aku. Terus-terang aku katakan di sini, jawapan Encik Khaki kepada soalan-soalan aku – "Bacalah Quran" – jatuh berdebap begitu sahaja seolah-olah sama seperti rambut aku di' chador'kan.
Dengan berlalunya masa, respons bacalah-Quran menjana lebih banyak pertanyaan dalam diri aku: Kenapa aku harus meneruskan amalan ( yang menipu diri) membaca dalam bahasa Arab sedangkan ia tidak praktis dan tidak pula menggerakkan jiwa aku? Kenapa kita perlu mengesyaki setiap terjemahan Quran Bahasa Inggeris mengkorupsi teks asal? Maksud aku di sini, sekiranya Quran itu begitu mudah seperti yang dilaung-laungkan oleh para pemurni agama, tidakkah ajaran-ajaran yang terkandung dalamnya boleh diterjemahkan dengan mudah ke dalam ribuan bahasa? Akhir sekali, kenapa orang-orang yang tidak bercerai susu dalam Bahasa Arab diberi stigma sedangkan kaum Arab hanya membentuk tidak lebih dua-puluh peratus daripada Umat Islam sedunia? Terjemahan: Sekurang-kurangnya lapan puluh peratus daripada umat Islam bukan berbangsa Arab. " Know Your Islam," kata mereka dengan girang. Tetapi Islam siapa?
Baiklah, masa sudah tamat.
Mari kita ajukan soalan asal kepada Encik Khaki: Kenapa kanak-kanak perempuan tidak boleh mengimamkan sembahyang? Dengan tanggapan bahawa jawapan Quran itu akan diulangi di dalam buku lain, aku nekad untuk membuat rujukan di perpustakaan madrasah ini. Punyalah susah untuk melakukan lawatan ke perpustakaan ini. Perpustakaan ini terletak pada tingkat atas masjid di sebelah tempat kaum lelaki – kawasan larangan untuk wanita tanpa izin terlebih dahulu. Kerana aku sudah berusia sebelas tahun dan termasuk dalam "usia wajib", aku tidak boleh bergaul bebas dengan lelaki dewasa. Jadi aku terpaksa meminta pertolongan seorang kanak-kanak lelaki yang belum memasuki "usia wajib" –berusia dua belas tahun atau lebih muda lagi – mewakili aku untuk meminta izin untuk aku setiap kali aku ingin membelek buku. Bila lampu isyarat hijau diberikan, kesemua lelaki yang berada di situ akan beredar sebelum aku boleh naik and memilih daripada koleksi risalah-risalah murahan yang ada pada rak-rak perpustakaan masjid itu. Masa aku juga terhad kerana lelaki-lekai tadi ingin kembali ke tempat mereka. Aku sempat meminjam beberapa risalah setiap kali, tetapi kandungannya susah untuk difahami, aku tidak pasti di mana para penulisnya menerima pendidikan. Aku terus melakukan perkara yang sama selama dua tahun tanpa memperolehi sebarang manfaat. Pada usia tiga belas tahun, aku mengambil keputusan untuk memintas Encik Khaki dan madrasah ini agar pertanyaan aku boleh terjawab.
Aku sering mengunjungi pusat membeli-belah. Misi aku? Menjejaki Quran terjemahan Bahasa Inggeris. Akhirnya aku berjaya menemuinya di Lansdowne Centre, semoga Tuhan memberkati pasar Richmond yang kaya dengan kepelbagaian kepercayaan. Kebebasan informasi mungkin menggerunkan Encik Khaki, tetapi kebebasan informasi inilah yang membolehkan salah seorang muridnya menemui makna yang lebih mendalam tentang agamanya – sesuatu yang mustahil dilakukan di madrasahnya.
Apa yang telah aku pelajari tentang kanak-kanak perempuan yang tidak boleh mengimamkan sembahyang? Aku tidak dapat memberitahunya sekarang. Kerana meskipun para mullah dan ustaz di madrasah boleh memberi jawapan mudah dan ringkas, Quran pula tidak demikian. Apa yang boleh aku beritahu di sini di dalam kesibukan pilihanraya, latihan drama, kerja sambilan, latihan bola tampar – sehinggalah memasuki universiti dan selepas itu, persoalan mengenai wanitalah diberi keutamaan di dalam minda aku. Aku masih membaca. Sekiranya aku mendedahkan konklusi aku pada peringkat ini, aku akan masuk terus ke bab kehidupan dewasa aku. Beri peluang untuk aku mengemukakan satu lagi persoalan.
Kaum Yahudi. Persoalan mengenai kaum Yahudi ini adalah satu lagi persoalan yang sering merisaukan aku semasa pengajian madrasah kerana kaum Yahudi sering menjadi sasaran. Encik Khaki mengajar kami bahawa bangsa Yahudi menyembah wang duit, dan tidak menyembah Allah, dan permujaan material mereka ini akan mencemari iman aku jika aku bercampur-gaul dengan mereka. Aku tertanya-tanya juga samada Encik Khaki berada di dunia mana? Adakah dia buta terhadap persekitaran kami? Richmond, sebuah daerah kota di bawah paras laut, lebih berkemungkinan ditenggelami pengaruh perdagangan Asia daripada wang duit Yahudi. Malah aku langsung tidak tahu menahu akan kewujudan saumaah Yahudi* di Richmond pada masa itu.
Mungkin juga aku ini ejen kuasa ghaib, kerana aku sentiasa menganggu pengajaran sejarah yang diajar oleh Encik Khaki dengan soalan-soalan mengenai kaum Yahudi. Aku masih ingat lagi yang aku bertanya kenapa Nabi Muhammad memerintahkan bala tenteranya membunuh satu suku kaum Yahudi sedangkan Quran turun kepada baginda sebagai satu utusan keamanan. Encik Khaki tidak boleh tahan lagi. Dia menjeling aku dan menamatkan kelas sejarah tersebut dan memulakan pelajaran Quran seterusnya. Mulut aku memang lancang.
Setahun selepas aku membeli Quran terjemahan Bahasa Inggeris, Encik Khaki dan aku menemui jalan buntu. Tiada apa yang aku baca setakat ini menyakinkan aku tentang wujudnya konspirasi Yahudi. Walaupun aku akui yang jangkamasa setahun itu jauh daripada mencukupi, tambahan pula pada usia empat belas tahun, kematangan fikiran pun belum tercapai sepenuhnya. Namun, aku masih tidak dapat melupakan kenyataan-kenyataan anti-Semitik hangat yang keluar daripada mulut Encik Khaki. Siapalah aku untuk memutuskan apa yang dikatakan dia karut melainkanlah aku ada bukti untuk mengatakan sebaliknya? Jadi aku mencabar dia untuk membuktikan plot Yahudi seperti yang didakwanya. Dia memberi satu ultimatum kepada aku: Sama ada kamu percaya atau keluar. Dan jika keluar, keluarlah dan jangan kembali lagi.
Dengan pelipis yang berdenyut-denyut dan leher yang dibasahi peluh di bawah kain poliester chador yang menggatalkan, aku bangkit serta-merta. Terasa ingin rasanya aku membuka tudung untuk tontonan para pelajar lelaki, tetapi aku tidak mahu mengambil risiko dikejar oleh Encik Khaki yang sudah sedia terperanjat itu. Apa yang sempat terlintas pada fikiran aku masa itu ialah membuka pintu besi madrasah sekuatnya sambil menjerit, " Jesus Christ!*" Moga-moga, sesuatu yang tidak akan dapat dilupakan. Nabi Isa pun berbangsa Yahudi!
Adakah kalian masih tertanya-tanya mengapa, selepas penyingkiran aku dari madrasah itu, aku masih tidak menolak Islam dan merayakan "emansipasi" diri ini? Sebahagian besarnya adalah disebabkan peri penting dan mustahaknya aspek identiti. Aku yakin yang kalian faham apa yang dimaksudkan di sini. Kebanyakan daripada kita yang beragama Islam adalah Muslim bukan kerana kita memikirkan tentangnya, tetapi kerana kita dilahirkan sebagai Muslim.
Persitiwa di madrasah itu mengaibkan ibu, tetapi ibu sudah masak benar dengan perangai aku dan tidak memaksa aku meminta maaf kepada Encik Khaki. Sekali pun tidak. Ibu juga tidak memaksa aku mengunjungi masjid bersamanya. Untuk setahun-dua aku masih pergi masjid. Masjid inilah satu-satunya tempat yang masih mengiingatkan aku tentang keIslaman aku yang semakin rapuh. Aku mencintai Tuhan dan tidak ingin menyalahkan masjid untuk dosa-dosa yang dilakukan madrasah – sehinggalah aku menyedari bahawa madrasah tersebut pun sebenarnya sebahagian daripada masjid itu. Kehadiran berterusan aku di Masjid tersebut mungkin membolehkan aku mengingatkan diri tentang keIslaman diri ini tetapi juga memaksa aku mengorbankan mengorbankan satu lagi bahagian penting identiti aku sebagai: pemikir.
Aku ingin menyampaikan satu lagi cerita. Salah satu daripada lima rukun ialah ialah yang berkenaan dengan kebajikan. Pada suatu malam, desas-desus menandakan persetujuan orang ramai mengisi ruang udara apabila pembesar suara di sebelah ruang yang dikhaskan untuk Muslimah memancarkan suara mullah dari sebelah tempat lelaki mengumumkan kempen mengumpul derma untuk saudara-saudara seIslam yang berada di luar negeri. Kami diminta menyediakan cek dalam masa beberapa hari. Semasa waktu rehat, aku tanya seorang ahli wanita ke mana wang duit kami akan dikirim, dia menyebut nama sebuah pertubuhan Islam yang sukar difahami. Aku tanya bagaimana dana itu akan digunakan. Untuk memberi makanan kepada saudara seIslam kita, ujarnya. Aku teringat akan berita-berita TV tentang dakwaan penyelewengan pertubuhan-pertubuhan kebajikan Kristian, lalu aku tanya bagaimana kita boleh begitu yakin wang tersebut akan digunakan secara amanah. "Wang tersebut akan digunakan oleh umat Islam," jawabnya dengan marah. "Itu sahaja yang perlu kamu tahu."
Kalian percaya? Aku tidak. Aku tidak mempunyai isu dengan pemberian-zakat tetapi dengan cara pengumpulan maklumat. Kenapa harus aku percaya dengan begitu sahaja hanya kerana orang yang menggelar diri mereka Muslim akan memperolehi sumbangan derma aku? Adakah setiap insan Muslim itu berakhlak mulia? Berbicara tentang agama. Di mana letaknya jenayah dalam soalan-soalan aku? Atau apakah pertanyaan- pertanyaan itu jenayah. Ibu tidak hairan apabila aku menjelaskan kepadanya yang aku tidak akan menambah sumbangan derma keluarga aku kerana kita perlu mengambil kira agama seseorang yang kelaparan, tambahan pula aku kurang yakin skim kempen yang disampaikan kepada kami. Sebagai ganti, aku memberitahunya bahawa wang derma sedekah aku akan disalurkan ke sebuah badan kebajikan yang tidak terikat dengan mana-mana pertubuhan keagamaan dan, sebuah badan yang sudah aku selidiki latarbelakangnya.
Semakin masjid tersebut terasa macam madrasah yang telah aku tinggalkan, semakin jaranglah aku mengunjungi masjid itu. Aku mula mengagih-agihkan perihal keagamaan, memupuk hubungan peribadi dengan Tuhan daripada terus mengganggap kepentingan peranan jemaah dalam proses perhubungan aku dengan Tuhan. Dalam semangat ini, aku berdoa sendirian.3 Setiap hari untuk beberapa tahun lamanya, aku bangun awal dan menggigil kesejukan memasuki bilik air yang tidak dihangatkan – seyakin-yakin ibu akan kuasa yang lebih tinggi, ibu juga terlalu berjimat-cermat dan memastikan bil-bil letrik kami sentiasa rendah. Selepas berwuduk, aku menghampar sejadah baldu di laluan koridor menghadap kota Makkah dan meletakkan seketul tanah liat Arabia menyentuh dahi aku apabila aku sujud, dan menghabiskan sepuluh minit menunaikan solat. Ia adalah latihan membina disiplin terutama sekali apabila kalian mengambil wuduk dua kali lagi dalam sehari, dan mendirikan solat empat kali lagi.
Namun demikian, tindakan mengambil wuduk, melafazkan ayat-ayat tertentu, sujud dalam keadaan kekok, pada waktu-waktu yang ditetapkan dalam sesehari, adalah satu bentuk penyerahan yang tidak masuk akal – dan satu kecenderungan untuk submisif kerana sudah menjadi kebiasaan. Jika kalian belum pernah menyaksikan kecenderungan ini pada ibubapa atau datuk dan nenek kalian, kalian adalah Muslim di luar kelaziman, sahabatku. Aku mula sedar bahawa apa yang sepatutnya bermula sebagai pedoman hidup beriman berakhir menjadi satu ikutan semata-mata, dan ini membuat aku menggantikan rutin sembahyang biasa aku dengan sesuatu yang lebih bermakna: perbualan-perbualan yang tidak terselindung dan tidak mempunyai struktur khas dengan Pencipta sepanjang hari. Setidak-tidaknya kata-kata perbualan itu adalah daripada aku sendiri.
Aku hampir-hampir meninggalkan Islam dan identiti aku sebagai seorang Muslim. Tahukah apa yang menghalang aku? Sikap mementingkan keadilan yang terdapat dalam diri aku. Aku sentiasa mempercayai bahawa Islam harus diberi peluang seadil-adilnya selaras dengan sensibiliti Barat, merit haruslah diutamakan. Aku perlu mencari semula personaliti Islam sebenarnya dan bukan hala tujunya. Aku sampaikan satu analogi di sini: Apabila aku berusia lebih kurang tiga belas tahun, ibu menyeru agar aku berbaik-baik dengan seorang sepupu yang amat aku benci. "Dia keluarga kita," ujar ibu. "Dia darah-daging kita." Aku membalas dan berkata bahawa darah tidak bermakna apa-apa bagi diri ini. Persoalan yang relevan di sini ialah samada aku akan memilihnya seorang kawan di sekolah jika kami tidak mempunyai sebarang pertalian persaudaraan. Dengan personaliti yang begitu jelek, lupakan sahaja. Menghabiskan masa dan tenaga untuk "menyukai" sepupu aku sudah tentunya tidak masuk akal, dan lebih baik aku melakukan perkara-perkara lain dengan masa yang ada. Walaupun ibu mengerti, ibu tidak bersetuju dengan pendapat aku. Baginya, hubungan kekeluargaan patut diutamakan. Bagi aku pula, keturunan seseorang tidaklah sama dengan merit. Bagi aku, yang lebih utama ialah personaliti seseorang.
Aku menggunakan kayu ukuran sama untuk agama. Untuk memutuskan samada aku harus terus menganuti Islam, aku harus mencari merit-meritnya. Dan aku harus mencari demi diri ini, menggantikan masjid dan kewarakan yang diprogramkan dengan pencarian personaliti Islam.
Mungkin benar Quran menyahinsani* kaum Yahudi dan mengongkong kaum wanita. Atau mungkin Encik Khaki seorang guru yang teruk. Atau Tuhan memerintahkan agar semua untuk berbahasa Arab. Atau itulah peraturan buatan manusia untuk memastikan para Muslimin bergantung kepada orang atasan. Mungkin penyimpangan daripada skrip asli Quran itu memurkai Tuhan. Atau sebenarnya kita memberi penghormartan wajar kepada kuasa-kuasa pencipta yang ada pada Tuhan apabila kita menggunakan kebolehan mencipta yang ada pada diri kita. Tetapi tanpa mempertimbangkan alternatif, beredar begitu sahaja samalah dengan melarikan diri.
Berita baiknya ialah aku tahu bahawa aku tinggal di negara yang membenarkan aku membuat kajian dan penyelidikan. Mujurlah ada kebebasan yang diberi kepada aku di Barat – untuk berfikir, mencari, bersuara, bertukar-tukar pendapat, berbincang, mencabar, dicabar, dan memikir semula – aku dapat menilai agama aku dalam satu suasana yang tidak mungkin terdapat di dalam mikrokosme Muslim parokial di madrasah. Aku tidak perlu membuat pilihan di antara Islam dan Barat. Di sebaliknya, Barat memungkinkan aku untuk memilih Islam walaupun hanya untuk sementara waktu. Terpulanglah kepada Islam untuk mengekalkan aku.
Aku tidak terlalu memikirkan mengenai agama, tetapi dari semasa ke semasa ada sahaja soalan yang muncul, dan aku memburu jawapan – jawapannya di satu-satunya tempat yang berkemungkinan mempunyai jawapannya. Bayangkan suasana ini: Perpustakaan awam pada zaman pra-Internet tahun 80-an dan awal 90-an. Kebanyakan aku baca mengenai Islam berbunyi dan bernada seperti buku teks. Banyak rujukan, tidak banyak risiko. Tiba-tiba, pada 14 Februari, 1989, Khomeini mengisytiharkan satu fatwa terhadap Salman Rushdie, penulis buku The Satanic Verses. " Valentine yang tak lucu" ini, Rushdie menggelar fatwa ini, menyeru lebih ramai orang Barat untuk bertindak terhadap teokrasi ini. Aku mengaku ramai di Barat menentang waran maut ini. Tetapi ulasan-ulasan yang terdapat di perpustakaan awam hanya menjelaskan kemarahan umat Islam; dan mengelak daripada persoalan samada Quran itu sesuci dan semurni seperti yang cuba dipaparkan oleh pembakar-pembakar patung*. Apa sudah jadi dengan Barat yang hampir-hampir pernah menawan hati diri ini. Barat yang menghormati kepercayaan keagamaan tetapi pada masa yang sama mempunyai suasana intelektual beraneka ragam ini? Apakah multikulturisme sudah semakin tidak masuk akal?
Dalam satu satu erti kata yang penting, aku percaya inilah penyebabnya. Aku berkata demikian kerana lawatan-lawatan perpustakaan aku berbetulan dengan era mendiang Edward Said. Dia ialah intelektual Amerika berbangsa Arab yang menggunakan istilah " Orientalisme"* pada tahun 1979 untuk menggambarkan kecenderungan Barat untuk menjajah umat Islam dengan mengutuk kita sebagai orang Timur yang aneh.4 Kenyataan ini sukar diterima, kan – terutamanya apabila Barat " imperialis" inilah yang menerbit, mengedar, dan mempromosi buku Said?
Dalam tempoh satu dekad, Said menjadi pujaan para ahli akademik-yang menjadi-aktivitis muda di Amerika Utara dan Eropah. Pujaan mereka inilah yang mengekang idea-idea lain tentang Islam. Semasa Salman Rushdie keluar dengan buku The Satanic Verses penyokong-penyokong Said sudah bersedia mengecam apa-apa sahaja yang dianggap menghina umat Islam sebagai " Orientalis" (sila baca: bersifat perkauman). Berdasarkan pengalaman aku, perpustakaan awam ini pun tidak terkecuali daripada fenomena ini.
Keyakinan aku terhadap Barat dan Islam pulih selepas pertengahan tahun 1990-an. Segala pujian untuk Allah kerana ada Internet. Laman Web membuatkan proses penapisan-diri tidak relevan lagi – orang lain akan menyuarakan apa yang kalian enggan – akhirnya ada juga tempat bernafas untuk golongan intelektual yang mengambil risiko. Mereka mengembalikan peranan Barat sebagai inkubator idea-idea berani walaupun tidak sempurna: cintanya terhadap penemuan, termasuk penemuan mengenai sikap berat-sebelahnya. Sementara para pengkritik mengkaji Islam, aku menemui beberapa aspek yang menakjubkan.
Berapa ramai di antara kita yang tahu sejauh mana Islam itu " pemberian kaum Yahudi"?5 Kesatuan segala makhluk Tuhan, sifat adil Tuhan yang penuh rahsia, keupayaan semulajadi kita untuk memilihan kebaikan, matlamat kehidupan duniawi kita, kehidupan akhirat yang tidak terbatas – perkara-perkara ini dan hal-hal utama berkenaan ajaran tawhid sampai ke umat Islam melalui agama Yahudi. Penemuan-penemuan ini benar-benar menakjubkan aku kerana ia menyarankan agar Muslimin tidak perlu bersikap anti-Semitik. Malah kita harus berterima kasih dengan kaum Yahudi dan tidak membenci mereka.
Tidaklah sehingga aku mendidik diri aku, baru aku menyedari bahawa umat Islam menyembah Tuhan yang sama – yang sama disembah oleh kaum Yahudi dan Kristian. Quran mengesahkan fakta ini.6 Bagi membolehkan minda madrasah aku mencapai kesimpulan ini, aku membaca buku karangan seorang ilmuwan pengajian agama berbangsa British, Karen Armstrong. (Apa yang boleh aku beritahu kalian? Proses nyahprogram yang aku lalui adalah sesuatu yang amat indah.) Amstrong menekankan bahawa Nabi Muhammad tidak mendakwa memperkenalkan Tuhan baru bagi seluruh dunia ini. Misi peribadi baginda adalah menyatukan kaum Arab dan diberi "pedoman yang betul" di bawah keluarga Nabi Ibrahim, nabi pertama yang menerima wahyu tentang Tuhan Yang Mahakuasa. Aku tidak pernah mendengar nama Nabi Ibrahim disebut dalam pelajaran sejarah di madrasah semasa aku membesar. Satu fakta penting yang tidak dimasukkan, lebih-lebih lagi keturunan Nabi Ibrahimlah yang mengasas bangsa dan negara Yahudi. Sebagai bangsa yang mula-mula mempercayai ketawhidan Tuhan, bangsa Yahudilah yang menyediakan rangka asas untuk umat Kristian dan kemudiannya untuk umat Islam. Jadi kalian nampak di sini bahawa kaum Arab Muslim tidak mencipta Tuhan yang esa; mereka menamakanNya semula Allah. Ini ialah ungkapan Arab bagi " Tuhan" – Tuhan umat Yahudi dan Kristian.7
Di mana letaknya pengakuan ini di dalam kurikulum madrasah? Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku sebelum Islam. Namun sekiranya segala pengalaman pra-Islam tidak diambil kira, maka kita juga tidak boleh menerima sebahagian besar prinsip-prinsip kita sebagai umat Islam. Sekiranya lebih ramai tahu bahawa Islam itu ialah hasil percampur-gaulan sejarah-sejarah, dan bukannya cara hidup yang baru semata-mata – adakah lebih ramai di antara kita sanggup menerima "pihak yang lain" itu? Aku tertanya-tanya kenapa begitu sukar bagi kita mengakui adanya pengaruh luar, melainkan apabila kita menuduh Barat bagi pelbagaia kelukaan akibat penjajahan. Ini membawa kita ke satu lagi persoalan: Adakah Islam lebih cenderung untuk berfikiran sempit berbanding dengan agama-agama dunia yang lain?
Dari peringkat universiti, setiap kali apabila orang bersetuju untuk membincangkan kecenderungan Islam untuk tidak bertoleransi, mereka akan mengingatkan aku agar tidak terkeliru di antara agama dan kebudayaan (adat resam). "Merejam wanita dengan batu-batuan adalah amalan puak-puak tertentu dan tidak ada kena mengena dengan Islam," ujar seorang perempuan semasa makan malam. Aku tidak yakin dengan kenyataan ini. Jika Islam itu fleksibel, ia seharusnya dapat menyesuaikan-diri demi kebaikan dan tidaklah hanya terhad kepada keburukan, kan? Jadi kenapa tiada satu pun ciri-ciri masjid aku yang menyerupai demokrasi Richmond – demokrasi yang membenarkan umat Islam Richmond untuk mendirikan sebuah masjid?
Bukan setakat jiwa Muslim moden aku sahaja bergelut memikirkan isu-isu ini. Pengalaman aku sebagai wartawan dan pengulas TV menyebabkan aku terpaksa berdepan dengan soalan-soalan yang dikemukan oleh orang awam mengenai Islam. Setelah melihat muka aku di televisyen, orang ramai tidak teragak-agak mendekati aku di kedai-kedai, restoran-restoran, dan kereta-kereta bawah-tanah untuk menyuarakan satu kerisauan: Jika kalian Muslim yang tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam, Tuhan menolong dan melindungi kalian. Tetapi selagi kalian masih memilih Islam, bagaimana kalian menjelaskan begitu banyak masalah bigotri yang sedang berlaku di bawah panji Islam? Lebih tepat lagi, mereka bertanya, "Adakah seseorang itu dibenarkan menjadi seorang Muslim dan feminis pada masa yang sama?" "Apa yang menyebabkan seorang Muslim warak menjadi pengebom berani mati?" "Kenapa tidak ramai Muslim yang sanggup bersuara dan menentang?" "Kalian tidak takut untuk bersuara?" Dan, "Kenapa aku belum pernah mendengar lawak tentang seorang pendeta Kristian,* seorang Rabbi, dan seorang Mullah?" Semenjak itu, aku melakukan lebih banyak penyelidikan, dan aku fikir bahawa aku sudah mula memahaminya. Izinkan aku untuk menyimpang seketika.
Dalam Islam, terdapat satu ajaran popular tentang larangan "ketawa berlebihan" ( ketawa terbahak-bahak). Aku serius. Di dalam buku risalah yang bertajuk Problems and Solutions,* Sheikh Muhammed Salih Al-Munajjid menerangkan ajaran ini.8 Walaupun seseorang Muslim tidak digalakkan bermuka bengis dan masam," ketawa berlebihan menunjukkan kita dikuasai sihir dan jenaka pintar melemahkan watak dan iman. Aku teringat teguran yang dibuat oleh bapa saudara pada suatu malam Tahun Baru agar tidak ketawa dengan terlalu kuat kerana ia akan mempercepatkan Hari Kiamat. Aku kurang faham apa yang dimaksudkan oleh bapa saudaraku dan sheikh tadi: Jika betullah ketawa terbahak-bahak ini begitu jelek, kenapa pendirian serupa tidak ditujukan terhadap amalan pembacaan Bahasa Arab yang mempunyai kesan memukau dan lirikal?9
Diberi contoh-contoh di atas, aku mengaku bahawa aku menyukai semangat rasa ingin-tahu orang ramai. Selama bertahun-tahun lamanya semangat rasa ingin-tahu itu memupuk diri aku. Semakin banyak peluang aku perolehi, mengutarakan masalah-masalah sosial dan halatuju global, semakin aku memerlukan orang ramai untuk mengingatkan aku kenapa aku mengaitkan diri dengan agama yang menjadi tumpuan pergolakan antarabangsa dan penyeksaan orang perseorangan. Orang ramai berhak bertanya. Ada dua soalan secara khususnya, mengumbang-ambingkan dunia aku – kedua-duanya untuk faedah aku juga, tetapi amat perit rasanya.
Soalan pertama ialah, "Di mana letaknya homoseksualiti dalam Islam?" Aku mengakui aku lesbian. Aku memilih untuk " keluar"* kerana, membesar di dalam keluarga yang penuh dengan kedukaan di bawah seorang ayah yang membenci kebahagiaan, aku tidak akan sabotaj cinta yang saling dirasai yang memberi kebahagiaan diri aku sebagai seorang dewasa. Aku bertemu dengan kawan wanita pertama aku sewaktu aku berusia dua puluh-an dan beberapa minggu sesudah pertemuan itu, aku memberitahu ibu tentang hubungan itu. Seperti biasa, ibu memahami jiwa aku. Jadi persoalan samada aku boleh menjadi seorang Muslim dan sekaligus seorang lesbian langsung tidak terlintas di kepala aku. Itu ialah agama. Ini pula kebahagiaan. Aku tahu akan keperluan aku. Aku masih meneruskan dari semasa ke semasa, pengajian Islam, mempelajari seni menjaga perhubungan dengan perempuan, menerbit rancangan televisyen, dan menjalani hidup yang penuh panca-roba sebagai seseorang yang berusia dua puluh-an di Amerika Utara.
Sementara pekerjaan TV aku membuat aku lebih dikenali ramai, harapan aku untuk merekonsilkan isu homoseksualiti dengan Islam beransur-ansur menjadi tumpuan utama aku. Para penonton mahu aku menjustifikasikan kombinasi identiti-identiti diri aku yang tidak logis. Aku menyoal diri sendiri dan malah bermain-main dengan kemungkinan untuk meninggalkan Islam sama sekali demi cinta kasih. Tidak ada motif yang lebih agung untuk melakukan pengorbanan ini kan? Tetapi setiap kali aku menghampiri pintu murtad, aku berundur. Bukan kerana takut. Tetapi demi keadilan – buat diri aku. Satu persoalan perlu dipertimbangkan dengan lebih mendalam lagi: Jika Tuhan Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa tidak ingin menjadikan aku lesbian, kenapa Dia tidak mencipta orang lain untuk menggantikan tempat aku?
Cabaran-cabaran tegang untuk " menjelaskankan diri aku" menjadi satu acara yang berlaku hampir setiap hari selepas 1998. Tahun itu, aku menjadi pengacara QueerTelevision, satu siri TV dan Internet berkenaan kebudayaan gay dan lesbian. Rancangan itu adalah tentang orang, dam bukannya pornografi, akan tetapi ramai para Muslimin menyertai para fundamentalis Kristian menentang kehadiran aku di skrin-skrin TV mereka. Sebenarnya, aku sudah menjangka keadaan ini. Tetapi adakah aku terlalu naif di dalam mengharapkan dialog perbualan sebagai ganti kecaman-kecaman mereka?
Percayalah, aku juga pernah cuba berdialog dengan mereka. Sebagai seorang yang mencintai kepelbagaian, termasuklah kepelbagaian perspektif. Aku tidak pernah membuang surat-surat kecaman mereka. Malah aku selalu menyiarkan surat-surat tersebut di dalam program. Satu contoh yang ingin aku sampaikan di sini: "Aku menulis untuk memaklumkan kalian satu-satunya Tuhan yang benar, Tuhan yang disebut dalam Alkitab,* dengan jelas menunjukkan semua kaum Sodom* (bermaksud 'homoseksual' atau yang serupa dengannya) telah mengabaikan sifat kemanusiaan mereka demi hawa nafsu gila, sumbang dan jahat. Maka mereka ini keji, bukan lagi manusia, dan seharusnya dihukum bunuh mengikut yang termaktub di dalam kitab Imamat* dan Ulangan*..."
Kebanyakan orang Islam yang menelefon dan menghantar e-mel kepada QueerTelevision bersetuju dengan orang-orang Kristian ini. (Kecuali berkenaan dengan Tuhan yang benar seperti yang disebut dalam Alkitab/ Bible.) Namun tidak ada seorang Muslim pun berani tampil ke hadapan untuk mematahkan hujah aku: Bagaimana pula Quran boleh mengecam homoseksualiti dan pada masa yang sama melaung-laungkan segala yang Allah "cipta adalah indah".10 Quran yang sama menyatakan, "sekiranya Tuhanmu berkehendakan, Dia akan membuatkan kamu sebagai satu suku kaum, tetapi dia telah mencipta kamu bersuku-suku." Bagaimana pengkritik-pengkritik aku boleh menjelaskan berdasarkan kitab yang mereka taati bahawa Tuhan sengaja merekacipta dunia beraneka ragam?11 Persoalan mengenai homoseksualiti dan Islam menguji keimanan aku. Tetapi memikirkannya, aku sedar bahawa pertukaran sihat ini tidak mustahil jika kita kurang mementingkan pendirian kita berbanding pendirian Tuhan.
Sekarang mari kita beralih kepada persoalan kedua yang telah aku janjikan. Ia ditanya beberapa bulan sebelum peristiwa 11 September, dan ia benar-benar menguji keimanan aku.
Pada bulan Disember 2000, satu sampul inter-pejabat* sampai di atas meja aku di QueerTelevision. Sampul itu dari bos aku, Moses Znaimer. Di dalam kesibukan menyelesaikan sebanyak-banyak mungkin episod program sebelum cuti Krismas, aku kepenatan dan memerlukan sedikit penyimpangan. Jadi aku membuka sampul tersebut dan mengeluarkan satu keratan akhbar. Ia mengandungi laporan ringkas dari Agence France-Presse:
GADIS DIPAKSA MELAKUKAN SEKS
MENERIMA 180 SEBATAN 12
Tsafe [Nigeria]. Seorang perempuan berusia 17 tahun yang mengandung yang telah dijatuhkan hukuman 180 sebatan oleh mahkamah syariah Islam kerana hubungan seks sebelum kahwin akan melahirkan anak dalam beberapa hari lagi, demikian menurut ahli keluarganya kelmarin.
Bariya Ibrahim Magazu memberitahu mahkamah pada bulan September yang dia dipaksa mengadakan hubungan seks dengan tiga orang lelaki rakan bapanya. Perempuan tersebut menamakan tujuh orang saksi. Ahli keluarga perempuan tersebut berkata dia akan melahirkan anak dalam sehari dua lagi dan akan menerima hukumannya 40 hari kemudian. AFP
Menggunakan dakwat merah terang, Moses membulatkan perkatan "Islam" sebanyak dua kali, menggariskan angka "180," dan menulis ulasan, mengikut gaya penyampaian Talmud*, di birai muka surat. Ia berbunyi:
IRSHAD, SALAH SATU HARI KELAK BERITAHU AKU BAGAIMANA AWAK MENYELARASKAN* KEGILAAN SEPERTI INI, DAN MUTILASI KEMALUAN PEREMPUAN DENGAN KEPERCAYAAN ISLAM KAMU. M
Tidak mencukupikah para penonton QueerTelevision memaksa aku memilih di antara orientasi seksual dan orientasi spiritual aku? Sekarang bos aku pula membebani aku dengan persoalan etika ini? Lebih-lebih lagi pada masa aku berhadapan tarikh-tarikh akhir tugasan?
Aku meneruskan kerja aku tetapi beberapa jam kemudian, cabaran yang dikemukakan oleh Moses menyebabkan jiwa aku bergelora. Kisah mangsa rogol ini pastinya akan menghantui mana-mana insan kerana walau apa pun sebabnya, satu fakta dalam laporan tersebut tidak dapat diterima akal manusia biasa: Perempuan yang sudah tergadai maruahnya itu dan dapat pula menamakan tujuh orang saksi. Tujuh! Dan masih lagi dijatuhkan hukuman sebat 180 kali! Aku pun tidak tahu entah macam manalah aku dapat menyelaraskan ketidakadilan asasi seperti ini dengan agama Islam?
Aku terpaksa berdepan terus dengan masalah ini. Bukan dengan sikap defensif, bukan dengan teori-teori, tetapi dengan kejujuran total. Tidak sampai setahun sebelum dunia ini sibuk dengan 11 September, aku mula membuat persiapan diri untuk memasuki bab seterusnya dalam kehidupan aku sebagai seorang Refusenik Muslim.
NOTA SUMBER DAN NOTA PENTERJEMAH
(Source & Translator’s Notes)
BAB 1: Bagaimana Aku Menjadi Seorang Refusenik Muslim? (Chapter 1 Notes)
* Perkataan 'Refusenik' dikekalkan tanpa terjemahan untuk memlihara maksud pengarang/ penulis buku.
* Diterjemahkan dari perkataan 'suburb', frasa 'daerah kota' diambil dari Kamus Inggeris-Melayu.
* Gereja Baptis Rose of Sharon diterjemah daripada Rose of Sharon Baptist Church. Dalam kes ini, hanya 'Rose of Sharon' dikekalkan dalam bahasa Inggeris sedangkan 'Baptist Church' diterjemahkan sebagai 'Gereja Baptis'. Bergantung kepada kesesuaian, penterjemah akan mengekalkan nama khas yang berlaku dalam bahasa Inggeris atau hanya menerjemahkan sebahagian daripadanya dan mengekalkan yang selebihnya dalam bahasa Inggeris. Bergantung kepada keadaan dan konteks.
* Diterjemah daripada perkataan 'Jesus' dalam teks bahasa Inggeris asli. Penterjemah mengambil keputusan untuk menterjemahkannya sebagai 'Yesus' kerana ia adalah nama yang digunakan oleh umat Kristian di Malaysia atau Indonesia apabila bertutur di dalam bahasa Melayu atau Indonesia apabila merujuk kepada Nabi Isa sebagai Juruselamat (Saviour) mereka atau sebagi 'orang' kedua di dalam kepercayaan 'Tritunggal' (Trinity) mereka. Oleh kerana perenggan ini merujuk kepada Isa dalam konteks Kristian, maka penterjemah mengambil keputusan untuk menggunakan kedua-dua kata nama 'Yesus' (Jesus) dan 'Nabi Isa'. Penterjemah sedar yang kedua-dua istilah kata nama ini merujuk kepada satu watak sejarah yang sama iaitu Isa bin Maryam atau Isa al-Masih yang juga merupakan seorang nabi di dalam Islam.
* Diterjemah secara verbatim untuk memelihara konteks cerita.
"Hari ini, tiada ketandusan buku-buku kanak-kanak tentang Islam, termasuk A is for Allah, oleh Yusuf Islam (yang dahulunya dikenali dengan nama Cat Stevens)." Nota: Satu kelas dengan dengan
101 Bible Stories, sekarang ada
The Best Qur'anic Stories, oleh Kamal-Sayyid. Lawatilah www.fadakbooks.com dan klik "Books for Children."
* Frasa 'Sunday school' dikekalkan oleh penterjemah untuk memelihara konteks cerita. 'Sunday school' ialah kelas bimbingan agama Kristian yang lazimnya dilakukan pada hari Ahad selepas ibadat sembahyang hari Ahad atau pada hari Ahad bagi umat Kristian. Secara harfiah, ia nermaksud 'Sekolah Ahad'.
2 " Bahasa-bahasa ini memenuhi ruang dalaman Aberdeen Centre, yang dibina beberapa tahun kemudian dan dikatakan sebagai "plaza membeli-belah tertutup bertemakan-Asia terbesar di Amerika Utara." Sumber: Albert Warson, East meets West in new mall: Asian Centre in B.C. to be totally rebuilt to attract wider clientele," Globe and Mail, September 10, 2002.
* Di Amerika Utara, gred atau grade apabila digunakan dalam konteks institusi pendidikan formal merujuk kepada ‘darjah’, kelas, atau tahun tingkatan akademik.
* 'Chador' ialah pakaian/ jubah yang yang dikenakan oleh wanita Iran pasca revolusi 1979. Perkataan 'cadar' dalam bahasa Melayu berkemungkinan mempunyai perkaitan dengan perkataan 'chador'.
* Diterjemahkan dari evangelical Christian. Contoh sebuah pertubuhan Kristian Envagelical di Malaysia yang agak dikenali ramai adalah S.I.B. atu Sidang Injil Borneo.
* saumaah diterjemah daripada perkataan ' synagogue', istilah ini ditemui di Kamus Inggeris-Melayu.
* Jesus Christ – apabila digunakan sebagai satu keluhan atau ekspresi perasaan dalam Bahasa Inggeris, ia mempunyai fungsi yang hampir menyamai fungsi ekspresi-ekspresi ‘ Ya Rasul atau Ya Allah’ di kalangan penutur Melayu kontemporari. Bezanya ekspresi ‘ Jesus Christ!’ digunakan lebih meluas dan tidak semestinya terhad kepada penganut Kristian sahaja. Malah sebilangan di kalangan mereka yang berkulit-putih di Barat tidak semestinya menganut agama Kristian dan golongan ini terdiri daripada pelbagai lapisan Masyarakat yang mempunyai aneka kepercayaan.
3" Dalam semangat ini, aku berdoa sendirian. Nota: Rujukan kepada Bowling Alone (New York: Simon & Schuster, 2000), buku Robert Putnam yang terkenal membicarakan kemerosotan semangat kemasyarakatan di Amerika Utara.
* Daripada perkataan 'de-humanize' dalam teks asal.
* effigy
* Daripada perkataan 'Orientalism' yang digunakan dan dipopularkan oleh mendiang Edward Said, sarjana, pemikir dan ilmuwan Arab-Amerika yang terkenal dengan bukunyan yang berjudul "Orientalism".
4"Dia ialah intelektual Amerika berbangsa Arab yang menggunakan istilah "Orientalisme" pada tahun 1979 untuk menggambarkan kecenderungan Barat untuk menjajah umat Islam dengan mengutuk kita sebagai orang Timur yang aneh." Sumber: Lihat Edward Said, Orientalism (New York: Vintage Books, 1979).
5" "Berapa ramai di antara kita yang tahu sejauh mana Islam itu 'pemberian kaum Yahudi'?" Nota: Ungkapan yang anggun ini datang dari Thomas Cahill, The Gifts of the Jews: How a Tribe of Desert Nomads Changed the Way Everyone thinks and Feels (New York: Nan Talese/ Anchorbooks, 1998).
6 " Tidaklah sehingga aku mendidik diri aku, baru aku menyedari yang umat Islam menyembah Tuhan sama yang sama-sama disembah oleh kaum Yahudi dan Kristian. Quran mengesahkan fakta ini." Sumber: Quran, 29:46. Lihat juga 2:136.
7 " Jadi kalian nampak di sini yang kaum Arab Muslim tidak mencipta Tuhan yang satu; mereka menamakanNya semula Allah. Ini ialah bahasa Arab bagi "Tuhan" – Tuhan umat Yahudi dan Kristian." Sumber: Karen Armstrong, A History of God: The 4,000-Year Quest of Judaism, Christianity and Islam (New York: A.A. Knopf, 1994), ms. 141. Lihat juga Quran, 29:61-63.
* Pendeta Kristian merujuk kepada 'priest'. Walaupun istilah 'paderi sering digunakan dalam Bahasa Melayu kontemporari untuk merujuk kepada pendeta agama Kristian, penterjemah berpendapat istilah 'paderi' atau 'padre' yang berasal dari bahasa Portugis-Sepanyol mempunyai makna yang terhad kerana ia lebih merupakan gelaran peribadi yang bererti 'Bapa' atau 'Father'. Istilah 'pendeta' lebih menyeluruh dan komprehensif dan merangkumi erti kata kerjaya atau peranan perkataan 'priest' yang disampaikan dalam teks asal. Oleh yang demikian rangkai kata 'Pendeta Kristian' digunakan untuk merujuk kepada 'Christian Priest' secara konsisten dalam versi terjemahan ini.
* Tajuk dikekalkan seperti dalam teks asli bahasa Inggeris.
8"Dalam Islam, terdapat satu ajaran popular tentang larangan "ketawa keterlaluan" (ketawa terbahak-bahak). Aku serius. Di dalam buku risalah yang bertajuk
Problems and Solutions, Sheikh Muhammed Salih Al-Munajjid menerangkan ajaran ini." Nota dan Sumber: Tajuk asal ialah Shakawa Wahulool. Muat turun di www.islam-qa.com
Menurut laman ini, Sheikh Al-Munajjid ialah seorang "pensyarah dan penulis Islam yang terkenal" yang bermatlamat untuk memberi jawapan mudah difahami, autoritatif kepada sesiapa yang menyoal tentang Islam...dan membantu menyelesaikan masalah umum, sosial dan peribadi."
9 " Di sinilah aku kurang faham apa yang dimaksudkan oleh bapa saudara aku dan sheikh tadi: Sekiranya betullah ketawa terbahak-bahak ini begitu jelek, kenapa pendirian serupa tidak ditujukan terhadap amalan pembacaan Bahasa Arab yang mempunyai kesan memukau dan lirikal?" Nota: Quran bermaksud bermakna hafazan. Ia perlu dibaca dengan kuat!
* ‘ keluar’ atau ‘ out’ dalam konteks ini merujuk kepada perbuatan mendedahkan status orientasi seksual seseorang dan sering merujuk kepada golongan gay atau lesbian yang mengumumkan orientasi seksual mereka secara terbuka.
* Merujuk kepada kitab Kristian yang dikenali secara popular di kalangan penutur Melayu kontemporari sebagai 'Bible'. Namun penterjemah berpendapat istilah 'Alkitab' menyampaikan maksud yang lebih persis, jitu dan tepat tentang kumpulan tulisan-tulisan yang terkandung dalam Old Testament (Perjanjian Lama) atau Kitab-kitab Yahudi dan New Testament (Perjanjian Baru) yang mengandungi injil-injil dan pelbagai karya lain. Lagipun istilah 'Alkitab' adalah istilah yang sudah menjadi kebiasaan di kalangan penganut agama Kristian (Katolik mahupun Protestan) di Indonesia, Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur.
* Sodom (atau kadang kala dieja Sadum) adalah kaum Nabi Lut atau Lot. Kaum Nabi Lut ini adalah kaum yang dikisahkan mengamalkan hubungan sejenis.
* Imamat ialah Leviticus, sebuah kitab yang tergolong dalam Taurat (Torah) yang terdapat di Perjanjian Lama (Old Testament) Alkitab (Bible) Kristian dan Yahudi.
* Deuteronomy seperti yang terdapat dalam Old Testament (Perjanjian Lama) dalam kitab Alkitab (Bible).
10" Bagaimana pula Quran boleh mengecam homoseksualiti dan pada masa yang sama melaung-laungkan segala yang Allah "cipta adalah indah". Sumber: Quran, 32:6-7, "Yang demikian itu, ialah Tuhan yang mengetahui yang ghaib dan nyataYang Maha Perkasa, Maha Penyayang. Yang memperindah segala sesuatu yang dia ciptakan. Lihat juga 38.26 yang berbunyi,"Dan kami tidak menciptakan langit dan bumi dan ada apa di antara keduanya, dengan sia-sia." Ada ayat-ayat yang serupa di 3:191 dan 3:48 yang berbunyi, "Tuhan mencipta apa yang diinginiNya."
11" Bagaimana pengkritik-pengkritik aku boleh menjelaskan berdasarkan kitab yang ditaati mereka yang Tuhan sengaja merekacipta dunia aneka ragam?". Nota: Salah seorang pengkritik paling hebat aku ialah Wahida Valiante, naib-presiden Kongres Islam Kanada. Apabila disoal mengenai aku, dia menafikan keIslaman aku kerana baginya mustahil untuk seseorang itu menjadi Gay dan Muslim pada masa yang sama. Namun dalam sebuah panel televisyen, dia mengakui yang kami adalah cerminan Tuhan," dan ia adalah satu misteri di dalam memahami totaliti ciptaan Tuhan." ("Faith Journal," Christian Television Journal, 23 November, 2002.) Diberi pengakuan dia, sejauh mana dia yakin yang aku ini laknat Tuhan? Wahida, apa dah jadi dengan "misteri" Tuhan?
* inter-office.
12 "Gadis dipaksa melakukan seks menerima 180 sebatan." Sumber: Globe and Mail, 7 Disember 2000.
* Talmud ialah kumpulan karya-karya penulisan keagamaan Yahudi yang mengandungi ulasan-ulasan para rabbi dan ulama Yahudi mengenai Taurat (Torah) dan hukum-hakam keagamaan Yahudi. Ia mempunyai fungsi yang mirip dengan ‘ Hadith’ dalam Islam. Talmud tidak menggantikan Taurat (Torah) seperti yang dipercayai sesetengah orang.
* menyelaraskan adalah perkataan yang digunakan oleh penterjemah untuk menyampaikan maksud 'reconcile'. Berdasarkan penjelasan perkataan 'reconcile' yang terdapat di Kamus Inggeris-Melayu yang relevan.
- Nota Daripada Penulis Tentang Judul Buku Melayu
- Nota Umum Penterjemah (Mengikut tertib abjad)
- Kata Pengantar oleh Dr. Khaleel Mohammed
- Surat
- Bab 1 - Bagaimana Aku Menjadi Seorang Refusenik Muslim
- Bab 2 - Tujuh Puluh Perawan
- Bab 3 - Sejak Bila Kita Berhenti Berfikir?
- Bab 4 - Pintu-pintu Gerbang dan Kutang-kutang
- Bab 5 - Siapa Mengkhianati Siapa?
- Bab 6 - Bawah Perut Islam Yang Tersembunyi
- Bab 7 - Operasi Ijtihad
- Bab 8 - Menyanjung Kejujuran
- Bab 9 - Mujurlah ada Barat
- Pembacaan Yang Disyorkan
- Penghargaan
- Kata Hujungan
- Kata-kata Penghargaan Daripada Penterjemah
Documentary

Irshad's PBS Documentary: Faith Without Fear follows my journey around the world to reconcile Islam and freedom.
Learn More and View Clips...
Buy Now in the USA
Buy Now in Canada
Get Involved

Irshad is pioneering efforts throughout the world to promote Muslim reform and moral courage. To join her mission, first get informed about all that she's doing.
Click here for concrete actions you can take to support Irshad's work.
Get Updates
Want to sign up for Irshad's confidential mailing list?
Click here to go to the subscribe page.
![]()
Click here to see photos of Irshad's latest
events and read her newsletters.
Around the Web
Join conversations about Muslim reform and moral courage around the web.
Click the links below to get involved:




